Siapa yang tidak suka makan puding? Lagi-lagi pada musim panas ini. Makan puding yang baru keluar dari peti ais ketika cuaca panas sekarang ini pasti akan memberi kenikmatan yang tidak terhingga.

Pernah dengar tentang puding marble? Puding marble terkenal dengan kelazatan rasanya. Cara untuk membuatnya juga mudah dan tidak memerlukan bahan yang banyak.

Berikut adalah cara membuat dan resipi puding marble yang dikongsikan oleh Puan Maria Bentalib. Mudah dan berbaloi!

Bahan-bahan yang perlu disediakan:

  • 2 bungkus agar-agar tali
  • 2 tin susu cair
  • 4 biji telur
  • 800g gula kasar
  • 10 mug / 1300 ml air
  • 4 sudu besar serbuk koko dibancuh dengan sedikit air suam
  • Sedikit pewarna merah / sirap

Cara-caranya:

1. Masak agar-agar

Mula-mula, masak agar-agar di atas api sederhana sehingga cair. Apabila sudah cair, masukkan gula dan kacau sehingga sebati.

Apabila gula sudah larut dan agar-agar kelihatan agak pekat, padamkan api.

2. Tapis

Tuang dan tapis larutan agar-agar tadi ke dalam sebuah periuk lain. Letak di atas dapur dan nyalakan api sederhana.

3. Pukul susu cair bersama telur

Sediakan sebuah bekas lain, campurkan susu cair dan telur. Pukul sehingga sebati, guna garpu juga boleh.

4. Campurkan

Padamkan api agar-agar tadi. Kemudian, campurkannya bersama adunan susu cair dan telur yang telah dipukul dengan menggunakan penapis.

Masukkan esen vanila dan kacau.

Nyalakan api sederhana semula dan biarkan hingga mendidih. Bila sudah agak pekat, padamkan api.

5. Asingkan kepada tiga bahagian

Bancuhkan serbuk koko dengan sedikit air suam.

Masukkan tiga senduk adunan agar-agar yang sudah dimasak tadi ke dalam mangkuk koko yang sudah dibancuh dengan air suam.

Masukkan juga tiga senduk lagi ke dalam mangkuk pewarna merah.

Selebihnya tuangkan dalam bekas yang lain.

6. Corakkan

Sekarang kita akan corakkannya dengan meletakkan bancuhan serbuk koko seperti di dalam gambar.

Kemudian giliran warna merah pula.

Boleh guna lidi untuk menjadikan corak tampak lebih menarik. Cuba buat ‘zig zag’ beberapa kali sahaja. Jangan godak atau kacau agar-agar kerana nanti corak kelihatan tidak cantik sebab warnanya akan bercampur menjadi warna lain.

7. Sejukkan

Setelah selesai semua, tutupkan bekas tersebut dan letakkan di dalam peti sejuk. Jangan meletakkannya diruang sejuk beku!

Siap!

Agak-agak sudah keras dan sejuk, bolehlah dipotong dan dihidangkan. Anda pasti ‘tergoda’ setelah melihat hasilnya. Corak yang menarik, rasanya tentulah sedap, lembut dan lemak berkrim.

Sumber: Puan Maria Bentalib/Facebook

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular