Bakal ibu bapa sentiasa teruja untuk menantikan kelahiran cahaya mata tercinta. Sempena menyambut kelahiran ini, setiap ibu bapa pasti akan melakukan pelbagai persiapan demi memastikan bayi menerima segala keperluan yang terbaik di dunia ini.

Selain daripada menyediakan keperluan pakaian, katil bayi dan sebagainya, mengikuti ujian anomaly scan atau imbasan terperinci juga adalah satu perkara yang wajib dan penting!

Imbasan terperinci ini adalah merupakan kaedah pemeriksaan keadaan bayi secara lebih terperinci dan ia boleh dilakukan apabila usia kandungan mencecah 18 minggu ke 24 minggu.

Baru-baru ini, Ell F Azman telah mengongsikan mengenai pengalamannya sendiri ketika melakukan imbasan terperinci ini. Menurutnya, imbasan terperinci ini adalah jauh lebih penting bagi memeriksa sama ada keadaan bayi di dalam kandungan anda sihat mahupun tidak.

Ell F Azman/Facebook

“Lebih penting daripada buat imbasan 3D4D hanya untuk lihat wajah bayi ikut emak atau ayah. Imbasan terperinci ini untuk melihat anggota badan bayi secara terperinci seperti otak, jantung, buah pinggang, perut, bilangan jari tangan, bilangan jari kaki, tulang belakang, kedudukan antara mata dan lain-lain.”

Jelas Ell F Azman lagi, bagi bahagian kepala bayi, doktor akan melakukan pemeriksaan secara mendalam termasuklah melihat kandungan cecair dalam otak, saiz kepala dan bermacam-macam lagi.

Bukan sahaja itu, imbasan ini juga membolehkan doktor mengenalpasti sama ada bayi anda sumbing, mempunyai ciri-ciri kecacatan, kebocoran pada jantung dan sebagainya.

Ell menceritakan bahawa pertama kali dia melakukan imbasan terperinci ini adalah apabila dia mengandungkan anaknya yang ketiga.

“Ketika itu usia kandungan sudah mencecah 25 minggu. Dugaan buat kami apabila doktor dapat mengesan ada kebocoran di jantung bayi. Terus dirujukkan kepada pakar di hospital.”

Tambahnya lagi, “Mengikut doktor pakar, bayi kami bayi VSD iaitu mempunyai masalah ventricular septal defects atau kecacatan septum ventrikel. Secara spesifiknya, PMVSD (Perimembranous Ventricular Septal Defects). Tapi In Shaa Allah ada harapan untuk lubang itu tertutup dengan sendirinya sama ada sebelum bayi keluar atau selepas bayi keluar.”

Eumom

Dalam erti kata lain, imbasan terperinci ini membolehkan para ibu bapa mengetahui segala permasalahan dengan lebih awal agar dapat melakukan persediaan yang sepatutnya. Persediaan ini bukan sahaja dari segi mental tetapi juga membolehkan anda merancang kelahiran bayi dan juga menitik beratkan soal penjagaan mereka selepas dilahirkan nanti.

Bagi anda yang ingin tahu berapa kos untuk membiayai imbasan terperinci itu, Ell menyatakan dia telah mengambil pakej imbasan terperinci bersama imbasan 3D4D yang berharga RM150. Jika anda mahu melakukan imbasan terperinci sahaja, kosnya adalah sebanyak RM110 tetapi kos ini adalah bergantung kepada klinik atau hospital berkenaan.

Sumber: Ell F Azman

Maybe you're interested :

Share

Video Popular