PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan mencadangkan agar kelas teori kursus memandu selama 6 jam yang sebelum ini diwajibkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di pusat memandu diintegrasikan ke dalam kurikulum sekolah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata hal itu dilihat lebih praktikal terutama di kalangan remaja berbanding ketika mereka mengambil kelas berasingan di pusat latihan memandu.

NST Online / Facebook

Menurut Anthony, “Mereka yang menjalani kursus memandu perlu mengambil kelas teori selama 6 jam untuk memahami undang-undang dan peraturan jalan raya sebelum mengambil ujian. Jadi, saya memikirkan satu cara sekiranya kelas teori ini boleh diterapkan bermula di peringkat sekolah.”

Anthony Loke berkata, sekiranya cadangan ini dikuatkuasakan kelak, para pelajar yang mengikuti kelas dan modul ini akan dikecualikan daripada menghadiri kelas teori kelolaan JPJ, tetapi masih perlu menduduki ujian kelas teori berkenaan di pusat memandu.

The Malaysian Times / Gambar Hiasan

Buat masa ini, kelas teori kursus memandu selama 6 jam adalah wajib dihadiri oleh bakal pemandu sebelum dibenarkan menduduki ujian bertulis atau berkomputer dan seterusnya menjalani latihan memandu sebelum layak menduduki ujian memandu untuk mendapatkan lesen memandu.

Anthony Loke mencadangkan inisiatif ini mampu diintegrasikan dalam kurikulum sekolah memandangkan usia 16 tahun adalah usia yang sah di sisi undang-undang bagi mendapat lesen memandu motosikal di Malaysia.

R.AGE / Gambar Hiasan

Menteri Pengangkutan itu juga turut menambah kajian dan cadangan ini dijangka akan mengambil masa selama dua tahun untuk dilaksanakan. Walau bagaimanapun, beliau melahirkan rasa positif yang inisiatif ini akan menarik minat di kalangan pelajar untuk mempelajari undang-undang trafik secara lebih mendalam dengan pendekatan yang berbeza.

Berkenaan Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) yang merupakan kerjasama pintar antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan sejak tahun 2007, Anthony Loke menekankan modul ini perlu disemak semula bagi menjadikannya bersifat lebih interaktif. Kajian semula berkenaan kandungan pembelajaran dan ilustrasi grafiknya telah dijalankan pada tahun 2016.

The Star

Menurut Anthony Loke, “Kita perlu melihat bagaimana untuk meluaskan kurikulum PKJR ke peringkat menengah tinggi dengan memberi fokus akan pembelajaran undang-undang trafik, dan bukan sahaja terhad kepada konsep keselamatan jalan raya. Kesannya nanti bukan untuk jangka masa pendek atau dengan kadar segera, tetapi ini adalah berkaitan pendidikan yang akan mengubah sikap kita ketika berada di jalan raya.”

Dalam masa yang sama, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyambut baik idea yang inovatif serta kreatif yang telah dikemukakan oleh Anthony Loke dan cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat jawatankuasa kajian untuk dibuat penilaian.

Sumber : The Star

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL Pendidikan

Video Popular