Memberus gigi bukan sahaja boleh membersihkan sisa makanan dan plak daripada permukaan gigi tetapi apa yang lebih penting ialah dapat mencegah penyakit gusi, membantu menguatkan gigi serta mencegah kerosakan gigi.

Untuk mendapatkan gigi yang sihat, ibu bapa dinasihatkan untuk memberus gigi anak mereka sebaik sahaja gigi mulai tumbuh. Ketika bayi, tuala lembap atau basah digunakan untuk membersihkan mulut dan gusi bayi selepas setiap kali penyusuan.

Bagi kanak-kanak pula, teknik menjaga kebersihan gigi ialah ibu atau ayah berdiri atau duduk di belakang anak dan mendongakkan kepala mereka ke atas kemudian gosok gigi mereka secara keseluruhan. Cara ini lebih mudah untuk membersihkan semua permukaan gigi anak.

Namun begitu, ada kanak-kanak yang mengamuk ketika ibu bapa hendak menggosokkan gigi mereka sehingga ibu bapa mengambil jalan untuk tidak memberus gigi mereka.

Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berlaku kerana kesan tidak menggosok gigi adalah lebih buruk seperti pembentukan plak gigi yang menyebabkan bakteria merebak dan menyerang enamel sehingga ke saraf dan saluran darah gigi.

Menurut Dr Zulaikahosni dalam catatannya di Facebook Lovedentalcare, ibu bapa tidak boleh berputus asa dan terus tidak memberus gigi anak-anak yang menangis atau mengamuk teruk. Ini kerana, anak-anak akan menganggap jika mereka menangis, mereka tidak perlu menggosok gigi. Bimbang akan hal itu, Dr Zulaikahosni telah berkongsi cara bagaimana memberus gigi anak jika anak-anak menangis atau mengamuk teruk.

1. Teknik dua orang

Jika anak mengamuk teruk, bapa boleh duduk di kerusi sambil memeluk anak di atas riba. Baringkan kepala anak di atas riba sambil memegang tangan anak. Ibu pula boleh memegang kepala anak dan memaksanya membuka mulut untuk memberus giginya.

2. Teknik seorang

Ibu bapa boleh berdiri di belakang anak dan memberus gigi mereka sambil memegang kepala mereka.

Selain itu, ibu bapa juga boleh duduk di bawah dan meletakkan anak dicelah kaki dan memeluknya. Kemudian ibu bapa boleh memberus gigi anak sambil memegang kepalanya.

Menurut Dr Zulaikahosni lagi, teknik ini hanya perlu dilakukan ketika anak menangis atau mengamuk teruk sahaja dan bukannya dilakukan setiap hari. Cara ini akan mendidik anak-anak bahawa gigi perlu digosok tidak kira sama ada mereka suka atau tidak.

Mungkin ada ibu bapa di luar sana yang merasakan teknik ini kejam tetapi cuba anda fikir semula. Kita hanya memberus gigi dalam masa tidak sampai 2 minit pun dan selepas itu, anak yang menangis tadi akan berhenti menangis.

Oleh itu, beruslah gigi anak-anak anda secara konsisten walaupun ketika itu dia menangis atau mengamuk teruk.

Sumber: FACEBOOK | LOVEDENTALCARE , MY HEALTH

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular