PETALING JAYA: Kakitangan awam yang bekerja di semua kementerian dan jabatan persekutuan di seluruh negara akan menikmati waktu kerja yang fleksibel bermula 1 Mac (Jumaat), seperti yang diumumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Inisiatif ini bertujuan untuk menyeimbangkan waktu bekerja dan waktu keluarga seperti yang diumumkan dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah JPA Datuk Seri Borhan Dolah. Selain itu, tujuan inisitif ini dilaksanakan adalah untuk menyeragamkan empat jenis jam kerja semasa yang sebelum ini diperkenalkan pada tahun 1998.

Facebook/Jabatan Perkhidmatan Awam

Borhan menambah, “Projek perintis akan melaksanakan waktu pejabat fleksibel, di mana pekerja boleh tiba dan kembali dalam satu tempoh masa dengan syarat tempoh waktu bekerja untuk satu hari itu telah dipenuhi.”

“Kami memperkenalkan projek perintis di jabatan-jabatan ini untuk melihat keberkesanannya dan kami akan melaksanakannya pada semua agensi kerajaan yang lain nanti.”

Difahamkan bahawa semua penjawat awam di semua kementerian dan jabatan persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak layak mendapat waktu kerja yang fleksibel.

Facebook/Jabatan Perkhidmatan Awam

Dalam pekeliling itu dinyatakan bahawa penjawat awam boleh memilih untuk memulakan kerja antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi dan meninggalkan pejabat antara jam 4.30 petang dan 5.30 petang pada hari bekerja (Isnin-Jumaat), selagi mereka menyempurnakan sembilan jam bekerja setiap hari.

Menurut Malaysiakini, penjawat awam yang bekerja di Johor dan Terengganu akan mempunyai hari kerja yang berbeza (Ahad-Rabu) di mana mereka boleh memilih untuk memulakan kerja di antara jam 7:30 pagi dan 8:30 pagi dan meninggalkan pejabat antara jam 4:30 petang dan 5:30 petang. Bagi hari Khamis pula, mereka dibenarkan untuk meninggalkan pejabat antara jam 3.00 petang hingga 4.00 petang, selagi mereka menyempurnakan tujuh jam setengah waktu bekerja.

Daripada pekeliling itu juga, projek perintis menyatakan bahawa sekolah, institusi pendidikan dan kemudahan kesihatan tidak dapat menikmati waktu kerja yang fleksibel.

“Untuk jabatan yang berkhidmat di kaunter perkhidmatan, ketua jabatan perlu memastikan bahawa operasi di kaunter perkhidmatan tidak terjejas apabila waktu kerja yang fleksibel dikuatkuasakan.”

“Ketua jabatan mempunyai prerogatif untuk memerintahkan mana-mana kakitangannya untuk datang ke pejabat pada waktu yang diperlukan.”

Wanita hamil dan pasangan mereka dibenarkan pulang sejam sebelum itu seperti yang dilaksanakan dalam skim waktu kerja sebelum ini.

Sebagai tindak balas kepada perlaksanaan inisiatif ini, Pegawai Advokasi dan Komunikasi Organisasi Pertolongan Wanita (WAO) Tan Heang-Lee memuji kerajaan persekutuan kerana memperkenalkan waktu kerja yang fleksibel.

Menurut beliau, “Pengenalan waktu kerja yang fleksibel untuk pekerja kerajaan persekutuan adalah langkah positif yang akan membantu pekerja lelaki dan wanita untuk mengimbangi tuntutan kerja dan tanggungjawab pengasuhan.”

Beliau berharap inisiatif itu juga akan diperkenalkan di sektor swasta untuk para pekerjanya, sambil menambah bahawa Kementerian Sumber Manusia juga bercadang untuk membuat pindaan kepada Akta Pekerjaan, yang merangkumi peruntukan untuk pengaturan kerja yang fleksibel.

Sumber: Astro Awani, Malaysia Gazette

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular