Diana Kim merupakan seorang jurugambar warganegara Amerika Syarikat berketurunan Korea yang gemar merakamkan gambar golongan gelandangan sejak dia belajar di universiti. Berkat hobinya yang suka mengambil gambar gelandangan, Diana akhirnya dapat bertemu kembali dengan bapanya yang telah terpisah selama 25 tahun.

Diana Kim yang berusia 30 tahun telah terpisah dengan bapanya sejak perpisahan ibu bapanya ketika dia berusia 5 tahun. Bapa Diana juga merupakan seorang jurugambar. Pada masa itu, mereka tinggal di Maui, Hawaii dan bapa ini mengajar Diana cara merakam gambar serta meminati bidang fotografi. Diana percaya bidang fotografi menjadi pintu pembuka kepada pengalaman yang luas menerokai dunia melalui cara berinteraksi dengan pelbagai golongan yang ditemuinya.

Diana Kim begitu meminati bidang fotografi sehingga menjadikannya sebagai satu karier.

Ketika Diana Kim berusia 5 tahun, ibu bapanya telah bercerai dan dia tidak lagi dapat berjumpa dengan bapanya selepas itu.

Diana Kim dan ibunya menghadapi masa yang sukar selepas perceraian tersebut sehingga mereka terpaksa tinggal bersama saudara-mara dan sahabat handai. Pernah satu ketika ibu dan anak ini tinggal di taman terbuka dan bermalam di dalam kereta.

Diana Kim berkata, “Saya sering menganggap kesusahan yang dialami semasa kecil itu sebagai satu pengalaman, jadi sekiranya saya mengalami kesukaran hidup, ia tidak menjadi hal yang besar bagi saya. Saya menjadi seorang tabah dan kuat setelah mengalami pengalaman itu.”

Selepas memasuki universiti pada tahun 2003, Diana Kim mula berjinak-jinak dalam bidang fotografi yang merakamkan golongan gelandangan sebagai subjek utamanya. Selama satu dekad, Diana Kim menjadi jurugambar yang berjaya kerana merakamkan gambar dan imej golongan gelandangan.

Golongan gelandangan sentiasa menjadi subjek utama dalam rakaman fotografi Diana Kim.

Diana berkata, “Saya dapat merasakan apa yang sedang dilalui oleh mereka. Bagaimana perasaannya ketika ditinggalkan dan dilupakan. Saya juga dapat merasai kesakitan jiwa yang dialami oleh mereka kerana tidak dapat menjalani kehidupan yang stabil dengan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan kerana saya sendiri pernah mengalaminya.”

Semasa Diana Kim sedang merakamkan gambar gelandangan pada tahun 2012, secara tidak sengaja dia telah terjumpa bapanya di satu sudut jalanan. Oleh kerana mereka telah terpisah semasa Diana berusia 5 tahun, bapa Diana tidak mengenali anak perempuannya, tetapi Diana dengan serta merta dapat mengecam bapanya yang sentiasa diingati.

Diana Kim terus dapat mengecam bapanya, sebaik sahaja melihat gelandangan ini.

Selepas berfikir dengan teragak-agak pada mulanya, Diana telah berjalan ke arah bapanya walaupun pada ketika itu, dia tidak tahu mengapa dia begitu bertekad untuk menegur bapanya. Diana menyedari keadaan fizikal bapanya telah banyak berubah berubah, dan rupanya amat teruk sekali.

Katanya, “Bapa saya amat kurus berbanding dahulu dan sudah semestinya kerana penyakit skizofrenia yang teruk itu. Akhirnya saya berjalan ke arahnya dan memangilnya, ‘Ayah!’. Bapa saya tidak menjawab dan tidak pun berpaling untuk melihat saya. Jadi, saya telah berdiri di sebelahnya untuk menarik perhatian. Saya melihatnya dan ternyata dia langsung tidak dapat mengenali dan mengecam saya.”

Bapa Diana Kim seorang gelandangan yang mempunyai penyakit skizofrenia sejak bertahun lamanya.

Diana berkata, “Ketika itu seorang wanita datang menyapa saya dengan berkata biarkan sahaja dia dengan keadaannya itu kerana dia selalu berdiri seperti itu. Saya rasa seperti mahu memarahi wanita itu kerana sikap biadap dan pandangan rendahnya. Lelaki ini adalah bapa saya yang tidak difahami oleh wanita itu, jadi saya hanya berkata kepadanya yang saya mesti mencuba untuk membangkitkannya semula.”

Oleh kerana bapa Diana mempunyai penyakit skizofrenia yang sudah lama tidak dirawat, dia sudah biasa tidak menghindarkan orang lain serta tidak memberi tindak balas dan akan hanya dilihat bertengkar dengan orang di sekelilingnya, walhal tiada siapa pun di sisinya. Golongan pesakit ini akan dilihat seperti bercakap seorang diri.

Bapa Diana telah menolak bantuan anak perempuannya untuk mendapatkan rawatan bagi memulihkan penyakitnya.

Selepas mencuba pelbagai cara untuk memulihkan bapanya, bapa Diana tetap berdegil untuk tinggal di jalanan. Namun begitu, Diana tidak pernah berputus asa dengan terus menemui bapanya bersama harapan satu hari nanti, hati bapanya akan terbuka untuk dibantu. Sehinggalah  pada suatu hari, bapa Diana telah mendapat serangan jantung di jalanan dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Pada masa ini, Diana Kim berharap bapanya akan terus menjalani rawatan bagi memulihkan penyakitnya serta berhenti dan meninggalkan kehidupan gelandangan itu.

Syukur dengan usaha keras Diana serta kemahuan bapanya sendiri, keadaan bapa Diana telah beransur pulih selepas menjalani rawatan. Bapa Diana kini semakin sihat serta mempunyai beberapa orang rakan dan mula mencari pekerjaan untuk menyara kehidupannya. Diana Kim berasa amat bertuah dan gembira kerana dapat melihat bapanya menjalani kehidupan yang normal semula.

Kehidupan baru bapa Diana merupakan pemberian hadiah terbaik buat diri Diana Kim yang sering melihat cabaran itu sebagai satu peluang untuk berkembang.

Kini bapa Diana Kim kembali sihat dan tidak lagi tinggal di jalanan sebagai gelandangan.

Bapa Diana Kim kini bertambah gembira dan bahagia. Dia mula mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan dengan sokongan anak perempuannya.

Sekiranya Diana Kim tidak menceburi bidang fotografi, dia mungkin tidak berpeluang menemui bapanya. Diana Kim berharap kisahnya dapat memberi inspirasi serta mengubah pendapat dan pandangan umum mengenai isu gelandangan.

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular