Berikutan kes kematian yang berpunca daripada seorang kanak-kanak yang tidak divaksin baru-baru ini, penggiat industri kesihatan menyarankan agar kanak-kanak yang tidak menerima suntikan vaksin adalah tidak dibenarkan untuk bersekolah.

Saranan itu adalah antara gesaan berikutan rancangan Kementerian Kesihatan untuk membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Gambar sekadar hiasan. Kredit: Awani

Presiden Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM), Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail menekankan bahawa sudah tiba masanya bagi kerajaan Malaysia mewajibkan suntikan vaksin imunisasi sebelum kanak-kanak menyertai alam persekolahan kerana masalah kanak-kanak tidak divaksin telah melibatkan kematian dan boleh menjadi epidemik jika tidak ditangani dengan baik.

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, beliau berkata bahawa pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan. Menurutnya, pihak kementerian mendapat ‘desakan’ kuat daripada pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan saranan untuk mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlakunya kes kematian.

Ketika ini, tidak menjadi satu kewajiban bagi kanak-kanak untuk divaksin sebelum dibenarkan masuk ke sesi persekolahan dan pihak sekolah mempunyai kuasa untuk melakukan pemeriksaan atau pengesahan lanjut.

Gambar sekadar hiasan. Poliana Ronnie Sidom/Berita Harian

Mengulas mengenai perkara ini, Dr Ahmad Shukri berkata, jika ibu bapa masih berdegil dan masih mahu menghantar anak-anak ke sekolah walaupun tanpa pengambilan suntikan vaksin, pihak sekolah boleh mengeluarkan surat kebenaran supaya pusat kesihatan memberikan suntikan vaksin kepada anak mereka.

“Hal ini melibatkan kebenaran ibu bapa, jika tidak, anak mereka akan menyebarkan pelbagai penyakit kerana tidak divaksin sebelum ini. Jika masih lagi tidak mahu memberi kebenaran, maka pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab jika ada kematian melibatkan mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden I-MEDIK Malaysia, Prof Dr Azizi Ayob berkata bahawa cadangan supaya kanak-kanak diwajibkan menerima suntikan vaksin jika ingin bersekolah adalah satu cadangan yang baik kerana tindakan ini boleh mengelakkan mereka menjadi ejen penyebar penyakit yang boleh dicegah.

Beliau juga berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan undang-undang supaya ibu bapa patuh kepada jadual imunusasi di negara ini supaya ‘herd imunusation’ iaitu 95 peratus komuniti divaksin dapat dicapai.

“Kita tidak boleh melarang kumpulan antivaksin kerana tiada akta melarang. Kebanyakan mereka berkomunikasi menerusi media sosial. Apa yang boleh dilakukan adalah mewujudkan kesedaran mengenai pentingnya suntikan vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin pula berkata, tindakan ibu bapa yang terdiri daripada kumpulan antivaksin yang mempercayai maklumat daripada internet berbanding pihak yang layak memberi maklumat mengenai vaksin hanya akan membahayakan masyarakat.

Bernama melaporkan, susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan negeri Johor, terdapat lima lagi kanak-kanak yang disyaki positif jangkitan difteria dan kini ditahan di wad isolasi pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Baharu. Seorang daripada mangsa yang positif adalah kakak kepada budak lelaki berusia dua tahun satu bulan yang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria, Selasa lalu.

Sumber: Bernama, Astro Awani

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN NASIONAL

Video Popular