Bagi yang suka berkebun dan menanam tumbuh-tumbuhan sama ada pokok bunga, buah-buahan atau sayur-sayuran, sudah pasti aktiviti riadah seperti ini akan memberi ketenangan.

Sama ada tanaman itu menggunakan pasu bunga, bekas tin lama dan bekas plastik, kita pasti sudah biasa melihatnya di rumah yang mempunyai sedikit ruang atau halaman untuk tanaman.

Ada pula di antara kita yang teringin untuk menanam sayur-sayuran untuk dimakan sendiri, tetapi tiada pula masa dan tempat berkebun. Ini tidak bermakna anda tidak boleh menanam sayur-sayuran.

Di bawah adalah 6 jenis sayur-sayuran yang boleh ditanam dan tumbuh semula dengan mudah menurut kaedah hidroponik atau menggunakan air, dengan hanya menggunakan cawan atau mangkuk yang biasa anda gunakan di rumah.

1. Daun bawang

Biasanya kita akan memotong akar daun bawang dan membuangnya begitu sahaja. Apa kata anda menanam semula daun bawang kerana sayuran ini paling mudah untuk tumbuh. Mula-mula, ambil beberapa batang daun bawang dan potong daunnya untuk masakan anda. Potong bahagian akar yang ditinggalkan kira-kira 4 sentimeter. Letakkan potongan akar ini di dalam gelas atau cawan dan tuangkan air menutupi bahagian akar tersebut.

Kemudian letakkan cawan ini di tempat yang sesuai seperti tanaman hidroponik dengan pengudaraan dan cahaya yang sesuai. Tukar air setiap 10 hari sekali. Dalam masa beberapa minggu, daun bawang yang baru akan tumbuh dan letakkan ia di tepi tingkap dapur. Anda boleh gunakan ia pada bila-bila masa untuk kegunaan masakan harian.

2.Kobis cina

Akar kobis cina juga boleh digunakan untuk menanam semula sayuran ini. Letakkan akar kobis cina di dalam satu mangkuk atau cawan yang besar dan letakkan sedikit air. Selepas menukar airnya dalam jangka masa beberapa hari, anda akan dapat melihat daun kobis cina yang baru mula bercambah dan tumbuh dari akarnya. Apabila kobis cina sudah membesar, anda sudah boleh memetik daun kobis ini untuk masakan. Ia juga boleh dijadikan benih yang seterusnya.

3.Daun ketumbar

Potong akar daun ketumbar dan bersihkan ia. Letakkan akar ini di dalam cawan seperti kultur hidroponik dengan air yang mencukupi. Dalam jangka masa beberapa hari, daun ketumbar akan bercambah dan tumbuh sehingga mengeluarkan daunnya. Apabila daun ketumbar sudah cukup membesar dengan ketinggian 2 hingga 3 sentimeter, alihkan ia ke dalam pasu yang diisi dengan tanah yang mengandungi nutrien. Selepas itu daun ketumbar akan dapat tumbuh dengan cepat dan lebih baik.

4.Sayur saderi

Akar daun saderi dapat tumbuh dengan cepat jika anda menanamnya. Letakkan akar saderi secara hidroponik di tempat yang lembap dan panas, dan dalam masa seminggu atau lebih, daunnya akan bercambah. Kemudian, alihkan sayuran ini ke dalam bekas yang mengandungi tanah bernutrien dan ia akan tumbuh dengan pantas untuk anda mendapatkan hasil sayuran saderi.

5.Karot

Daun karot sebenarnya tidak enak untuk dimakan, tetapi daunnya agak cantik untuk dijadikan sebagai tumbuhan hiasan. Letakkan akar karot di dalam gelas bersama batu kecil dan sedikit air. Karot akan bercambah dan daunnya yang menghijau akan memperindahkan mata memandang.

Untuk mendapatkan daun karot yang cantik, pastikan anda memotong karot pada ketinggian 3 hingga 4 sentimeter sebelum meletakkannya di dalam bekas bersama air pada sukatan separuh daripada kepala akar karot ini. Letakkan ia di tepi tingkap yang terdedah kepada cahaya matahari. Nantikan beberapa hari sebelum ia menumbuhkan daun hijau yang cantik.

6.Daun salad

Anda pasti sukakan daun salad. Apa kata tanam sahaja ia di rumah dengan menggunakan akarnya. Letakkan akar daun salad di dalam cawan dengan air. Tunggu sehingga daun salad yang baru bercambah sebelum memindahkannya di dalam pasu dengan sedikit tanah bernutrien. Selepas salad membesar, anda boleh memetiknya dan memakannya bersama hidangan barbeku anda.

Anda boleh mencuba cara ini jika mahu menanam sayuran sendiri di rumah kerana mahu berjimat. Walaupun rasanya tidak sama seperti yang ditanam di kebun atau ladang, namun begitu sekurang-kurangnya anda boleh menikmati tanaman sendiri dan tidak pula membazirkan akar sayur-sayuran daripada dibuang begitu sahaja.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share

Video Popular