Seekor kucing bernama Fluffy ditemui dalam ‘balutan’ salji di Montana oleh tuannya. Tanpa membuang masa, tuan Fluffy membawa kucing peliharaannya yang kelihatan tidak begitu sihat itu ke Klinik Haiwan Kalispell. Ketika sampai di klinik, Fluffy tidak sedarkan diri namun doktor haiwan tetap tidak mahu mengalah untuk menyelamatkan si comel ini.

AnimalClinicOfKalispell

Ketika kakitangan klinik mengambil suhu badan Fluffy di klinik, bacaan suhu yang ditunjukkan adalah sangat rendah sehingga tidak boleh dibaca oleh termometer kerana kurang daripada 90 darjah. Untuk pengetahuan anda, suhu badan kucing normal seharusnya berada pada paras sekitar 101 darjah.

Menurut pengarah eksekutif klinik, Andrea Dutter, Fluffy tidak disahkan mati kerana degupan jantungnya masih ada cuma Fluffy berada dalam keadaan yang sangat sejuk dan hampir beku. Mereka mula menghangatkan Fluffy dengan menggunakan pelbagai cara berbeza seperti menggunakan air suam untuk mencairkan ais dan salji. Kemudian mereka menggunakan tuala hangat, pengering rambut, pad pemanas dan apabila suhu badan Fluffy pulih mereka memberikan cecair IV kepada Fluffy.


AnimalClinicOfKalispell

Selepas dua jam menggunakan air suam dan selimut, suhu badan Fluffy masih terlalu rendah, jadi mereka membawanya ke bilik kecemasan. Di sana, selepas beberapa jam, Fluffy mula sedar dan akhirnya, si comel itu pulih sepenuhnya.

Menurut Dutter lagi, “kami tidak pernah memberi sebarang jaminan bahawa sebarang kaedah rawatan perubatan akan berjaya. Dalam kes ini, Fluffy bernasib baik kerana masih muda (3 tahun) dan sihat. Fluffy mempunyai keinginan untuk bertahan hidup dan telah membuktikannya kepada kami dan dunia.”

Perkara yang paling penting yang membantu menyelamatkan Fluffy ialah apabila pemiliknya tidak teragak-agak untuk membawa Fluffy ke klinik selepas mereka pulang ke rumah dan menemui Fluffy dalam keadaan seperti itu.

“Mereka melakukan perkara yang betul. Mereka segera membawanya berjumpa kami. Pemiliknya sangat sayang kepadanya dan begitu peduli terhadap keadaannya. Mereka tahu dan percaya bahawa dengan membawa Fluffy berjumpa doktor adalah pilihan terbaik. Ia adalah keadaan yang mengerikan, tetapi semuanya menjadi lebih baik selepas itu sehingga membolehkan Fluffy pulih seperti biasa.’

Sekarang, Fluffy sudah kembali ke rumah dan boleh menikmati kehidupan sepenuhnya!


AnimalClinicOfKalispell

Klinik haiwan itu juga memuat naik status Facebook dengan memberitahu bahawa mereka berjaya menyelamatkan seekor kucing yang ‘tertanam’ di dalam salji.

“Kami benar-benar berharap kisah Fluffy dapat menyedarkan pemilik haiwan lain mengenai cara untuk membantu haiwan kesayangan mereka. Adalah penting untuk memastikan haiwan mereka selamat dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera. Kami berterima kasih kerana pemilik Fluffy bertindak dengan cepat dalam menangani hal ini,” tambah Dutter lagi.

Ramai netizen yang memberi tindak balas mengenai hal ini. Contohnya Bill Redford yang mengatakan bahawa “ini adalah pengakhiran cerita yang menggembirakan. Terlalu banyak haiwan yang mencari tempat perlindungan ketika waktu sejuk.”

Ada juga netizen yang berkongsi kisah yang hampir sama. Ketika itu mereka sekeluarga pergi bercuti sempena sambutan Krismas selama 3 hari dan tiada siapa yang sedar kucing peliharaan mereka keluar rumah. Apabila mereka pulang, mereka menemui kucing tersebut dalam keadaan yang keras seperti kayu. Mereka menyangka kucing itu telah mati namun selepas beberapa jam memberikan tuala hangat dan air suam, kucing tersebut sedar semula.

Semoga kisah ini memberi inspirasi kepada semua orang bahawa jangan memandang ringan akan keadaan haiwan peliharaan. Tindakan kecil kita mungkin dapat menyelamatkan nyawa haiwan tersebut.

Sumber: BORED PANDA

Maybe you're interested :

Share

Video Popular