Satu kajian baharu menyeru penarikan semula lebih daripada 400 kertas penyelidikan tentang pemindahan organ kerana dikhuatiri berlakunya penggunaan organ yang diambil secara tanpa izin daripada banduan-banduan China.

Dalam kajian yang diterbitkan di dalam jurnal perubatan BMJ Open pada 6 Januari lalu, telah mengkaji kertas-kertas terbitan jurnal dalam bahasa Inggeris yang diterbit pada tahun 2000 hingga 2017 yang menggunakan kajian dari China yang berkenaan dengan pemindahan organ.

TheSunDaily

Berdasarkan kajian ini yang dikendalikan oleh penyelidik dari Australia, didapati wujudnya kegagalan yang berlaku secara meluas di komuniti penyelidik pemindahan antarabangsa. Dilaporkan komuniti ini gagal untuk mematuhi piawaian beretika dan ini menyebabkan larangan untuk menerbit kajian melibatkan organ tahanan penjara  atau tidak mempunyai persetujuan daripada penderma organ.

“Saya sangat terkejut dengan bilangan jurnal yang penerbitannya telah diterima tanpa melakukan usaha wajar terhadap aspek etika kajian yang dilaporkan,” kata penulis bersama merangkap penyelidik di Universiti Macquarie, Dr. Robyn Clay-Williams.

Pemindahan Organ secara Haram di China

Pertubuhan hak kemanusiaan dan beberapa orang pakar mula mempersoalkan tentang sumber organ yang digunakan dalam sistem pemindahan organ di China. Menurut rejim komunis China, sejak tahun 2015 lagi sumber organ adalah diperoleh daripada individu-individu yang secara sukarela ingin menderma.

IEEE

Dalam satu laporan terperinci oleh International Coalition to End Transplant Abuse in China pada tahun 2016, terdapat percanggahan besar di antara bilangan pemindahan organ rasmi di China dengan bilangan pemindahan organ yang dijalankan di hospital.

Setelah menganalisis rekod awam daripada 712 hospital yang menjalankan pemindahan buah pinggang dan hati, laporan menunjukkan sekitar 60,000 hingga 100,000 pemindahan organ telah diadakan setiap tahun. Jumlah ini membuktikan berlakunya perbezaan besar berbanding rekod rasmi yang dikeluarkan iaitu hanya 10,000 ke 20,000 setahun.

Perbezaan yang ketara ini dipercayai diambil secara paksa oleh banduan di China dan individu yang mengamalkan ajaran kerohanian yang disebut sebagai Falun Dafa atau Falun Gong.

Malah, laporan pada tahun lalu oleh sebuah organisasi bukan kerajaan dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Pemindahan Organ China yang berpangkalan di New York turut mengemukakan bukti-bukti kukuh bagi menyokong pernyataan tersebut.

Pada Jun 2016, wakil rakyat Amerika Syarikat turut mengeji perbuatan mengambil organ pengamal Falun Gong di China. Pada Julai tahun yang sama, Parlimen Eropah pula meluluskan deklarasi yang meminta agar amalan tidak beretika itu dihentikan segera.

‘Kegagalan Tindakan’

Kajian ini telah menjalankan sebanyak 445 penyelidikan merangkumi lebih daripada 85,000 pemindahan organ. Didapati lebih daripada 92% kajian gagal untuk memberi maklumat sahih sama ada organ itu diperoleh daripada tahanan yang dihukum mati manakala 99% lagi gagal untuk mengesahkan sama ada penderma telah memberikan kebenaran masing-masing untuk diambil organ mereka.

Tambahan pula, terdapat 19 kertas kajian yang mendakwa tiada sebarang organ tahanan telah digunakan untuk pemindahan yang dijalankan sebelum tahun 2010. Pada ketika itu, sistem pendermaan organ belum ditubuhkan di China sekali gus menyebabkan kenyataan tersebut tidak mungkin sahih.

Ketua penyelidik yang juga profesor di Universiti Macquarie, Wendy Rogers menyatakan bahawa penerbit jurnal dan juga editor kajian sebelum ini gagal menanyakan soalan tentang sumber organ yang sebenar.

NTD India

“Apabila anda melakukan kesilapan seperti ini, keputusannya menunjukkan amalan tidak beretika itu boleh berkembang,” kata Wendy.

Memetik kenyataan dalam kajian itu, “Kekurangan kewaspadaan yang dimainkan oleh editor dan penerbit sangat membimbangkan kerana menerima lebih daripada 85% kajian yang langsung tidak menyebut maklumat mengenai sumber organ.”

Menguatkuasakan Piawaian Etika

Terdapat beberapa badan termasuklah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan The Tranplantation Society (TTS) memberikan kritikan tentang penggunaan organ daripada tahanan penjara yang dihukum mati. Namun begitu, tiada sebarang tindakan undang-undang dilakukan untuk menyokong piawaian beretika ini.

Buat masa ini, Wendy menegaskan bahawa komuniti pemindahan telah pun lama menyedari isu ini. Ia dibuktikan dengan polisi TTS sejak tahun 2006 yang mula mengharamkan sebarang penyelidikan atau kertas persidangan melibatkan organ yang bersumberkan daripada tahanan penjara.

“Saya tidak tahu sama ada komuniti ini terlupa atau mereka fikir ianya sudah dihentikan sekarang. Tetapi saya berpendapat jika seseorang bekerja dalam bidang berkenaan, anda mempunyai peraturan profesional untuk sentiasa berhati-hati dalam mengulas atau memberi kenyataan tentangnya.”

Berdasarkan pembacaan Wendy, jurnal rasmi TTS iaitu Transplantation telah menerbitkan lima kertas yang melanggar dasar pengharaman penerbitan penyelidikan tidak beretika yang ditetapkan oleh TTS sendiri.

Kertas berkenaan menyeru penarikan semula semua kajian yang telah terjejas sementara menunggu siasatan terhadap kertas individu. Bukan sahaja itu, kertas berkenaan turut mencadangkan sidang kemuncak antarabangsa bagi membangunkan dasar untuk mengendalikan penyelidikan yang melibatkan sistem pemindahan organ di China.

Kes sebelumnya

Pada tahun 2017, jurnal perubatan Liver International telah menarik semula kertas oleh pakar bedah pemindahan organ China setelah beberapa individu mempersoalkan sumber organ yang digunakan dalam penyelidikan mereka.

Penulis kertas tersebut yang telah menganalisis 564 pemindahan hati di sebuah hospital yang terletak di wilayah Zhejiang dari April 2010 sehingga Oktober tahun 2014 mendakwa bahawa organ yang mereka perolehi adalah daripada penderma yang mati akibat penyakit jantung. Penulis turut menyatakan bahawa mereka langsung tidak menggunakan organ daripada tahanan yang telah dihukum bunuh.

Namun, Rogers dan beberapa lagi ahli akademik menegaskan bahawa adalah menjadi satu perkara mustahil untuk sebuah hospital memperolehi jumlah organ yang banyak dan sedia untuk digunakan memandang jumlah organ yang didermakan pada masa itu adalah kecil.

Tambahan pula, organ hati daripada penderma yang telah meninggal dunia hanya boleh digunakan sepertiga daripada masa yang dimaklumkan. Dalam erti kata lain, pihak hospital perlu mendapatkan sumber organ yang jauh lebih besar daripada sekadar sistem sumbangan penderma sukarela.

Justeru, kebanyakan pakar membuat kesimpulan bahawa satu-satunya penjelasan yang masuk akal ialah organ-organ ini diperoleh daripada tahanan penjara yang dibunuh dan juga individu yang dipenjarakan kerana mengamalkan Falun Gong.

The Epoch Times

Dr Torsten Trey adalah pengarah eksekutif sebuah kumpulan bukan berasaskan kerajaan yang berpangkalan di Washington D.C iaitu Doctors Against Forced Organ Harvesting (DAFOH) turut menyatakan signifikasi penemuan baharu tersebut.

“Barat mungkin tidak dapat mengubah China tetapi ia boleh mengubah tingkah laku sendiri : Doktor pemindahan organ boleh bermula dengan membaca laporan dan hasil penyiasatan yang telah dikumpulkan sejak bertahun-tahun dahulu.”

Trey berkata komuniti perubatan perlu mendorong akauntabiliti yang ketat dari China.

“Masyarakat antarabangsa dan jurnal perubatan seharusnya menghantar isyarat supaya China tidak bermain-main dengan piawaian beretika.”

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL Kebenaran

Video Popular