Bagi kebanyakan orang, lapangan terbang bukanlah tempat yang menyeronokkan dan biasanya kita tidak terfikir untuk bertemu dengan rakan baharu atau beramah mesra kerana kita lebih memikirkan akan penerbangan yang akan diambil nanti. Namun, lain pula bagi anak kecil ini, Carter Jean yang nampaknya begitu teruja apabila berada di lapangan terbang.

Menurut Kevin Armentrout, iaitu ayah Carter Jean seperti biasa anaknya itu akan melakukan rutin biasa dengan menyapa dan menegur sesiapa sahaja yang dia temui di tempat menunggu.

Ketika itu mereka berada di tempat menunggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Las Vegas. Carter Jean menyapa semua orang di situ sehinggalah dia bertemu dengan seorang lelaki Amerika Afrika bernama Joseph. Kevin yang melihat situasi itu agak terkejut pada mulanya kerana gaya Carter dan Joseph seolah-olah sudah lama berkawan dan mereka kelihatan agak rapat.

Joseph menghulurkan tangan dan bertanyakan adakah si kecil itu mahu duduk bersamanya. Joseph kemudian mengeluarkan tablet dan menunjukkan apa yang menarik yang ada di situ. Mereka bukan sahaja menonton kartun bersama malah turut berkongsi makanan ringan sepanjang 45 minit.

Melihat apa yang berlaku di depan mata membuatkan Kevin seperti tidak percaya. Dia tidak menyangka ada orang asing yang mahu meluangan masa bersama, menonton kartun sambil menikmati makanan ringan dengan anak kecil.

Apa yang lebih menarik tentang peristiwa itu ialah kedua-dua anaknya dan Joseph adalah individu yang sangat berbeza daripada segi umur, bangsa dan warna kulit namun sangat rapat seperti tiada jurang antara mereka.

Kevin percaya kisah indah seperti itu harus dikongsi dan disebarkan untuk kesedaran orang ramai bahawa dunia ini perlukan keamanan seperti itu. Sejak itu, catatan Kevin di Facebook menjadi tular. Salah seorang pengguna Facebook, Linda Taylor memberitahu bahawa Joseph adalah abang iparnya yang melayan semua orang seperti rakannya sendiri.

Dalam catatan di Facebook, Kevin turut mengucapkan terima kasih kepada Joseph kerana menunjukkan sesuatu yang baik seperti itu kepada anak perempuannya. Dia berharap agar Joseph terus menyebarkan kebaikan kepada semua orang.

Benarlah tiada syarat untuk berbuat baik. Lakukanlah kebaikan dengan sesiapa pun, di mana-mana pun tanpa mengharap apa juga balasan kerana tanpa kita sedari kebaikan kita akan diikuti oleh orang lain. Ayuh, sebarkan kebaikan!

Sumber: Kevin Armentrout/Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular