Adalah menjadi satu kelaziman untuk kanak-kanak pada zaman sekarang memiliki telefon pintar mahupun tablet berbanding dengan buku. Jika anda berasa skeptikal, anda boleh lihat sendiri keadaan kebanyakan keluarga di kawasan awam, misalnya di restoran-restoran.

Kanak-kanak lazimnya diberikan telefon pintar bagi ‘mendiamkan’ mereka agar mereka tidak membuat perangai. Menyedari akan keadaan ini, pihak McDonald’s Malaysia merancang untuk membuat perubahan melalui satu pendekatan yang berbeza dan menarik!

Menurut sidang media yang dijalankan oleh McDonald’s Malaysia, mereka bakal melancarkan program ‘Happy Meal Readers’ sebagai satu inisiatif bagi menggalakkan amalan membaca selain mempromosikan kebersamaan keluarga terhadap generasi muda di Malaysia, khususnya.

McDonald’s Malaysia

Seperti yang dilaporkan oleh Malay Mail, pelancaran program berkenaan diadakan pada 20 Februari lalu. Selain daripada itu, rangkaian syarikat makanan segera berkenaan kini bekerjasama dengan pengarang dan ilustrator terkenal, Cressida Cowell yang terkenal dengan siri “How to Train Your Dragon”.

Dengan usaha ini, ibu bapa kini boleh membuat pilihan sama ada untuk memilih buku mahupun permainan di dalam set Happy Meal yang dibeli di seluruh negara.

Bagi pelanggan yang memilih untuk mendapatkan buku, mereka akan diberikan buku cerita bertemakan dinosaur yang telah ditulis oleh Cressida Cowell. Buku yang akan diberikan kepada pelanggan McDonald’s itu berjudul “Treetop Twins Adventures”, mengandungi 12 cerita tersendiri, di mana satu buku akan dikeluarkan pada setiap bulan sepanjang tahun. Buku tersebut dfahamkan boleh didapati di dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Bagi menawarkan pengalaman membaca yang lebih menyeronokkan, buku tersebut turut tersedia dengan versi digital yang boleh didapati menerusi aplikasi Happy Studio yang boleh dimuat turun di App Store dan di Google Play Store.

McDonald’s Malaysia

Pengarah pemasaran McDonald’s Malaysia, Eugene Lee berkata bahawa usaha ini adalah bagi memupuk budaya membaca bersama-sama dengan keluarga.

“Kami mahu menggalakkan keluarga menghabiskan lebih banyak masa bersama. Kami harap inisiatif ini berupaya menanamkan rasa cinta terhadap membaca untuk sepanjang hayat dalam kalangan kanak-kanak, selain menjadikannya aktiviti yang menyeronokkan untuk seisi keluarga,” katanya.

McDonald’s Malaysia

Program Happy Meal ini juga bermatlamat untuk membantu negara mencapai aspirasi bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gemar membaca di bawah Program Dekad Membaca Nasional 10 tahun Kementerian Pelajaran.

Terdapat lebih daripada 300,000 salinan edisi buku pertama yang telah diedarkan di seluruh negara, di mana ia mula dikeluarkan pada bulan Januari. Semoga usaha ini menerima sambutan yang menggalakkan daripada para ibu bapa di luar sana.

Sumber: Malay Mail

Maybe you're interested :

Share

Video Popular