Kucing peliharaan Karl Lagerfeld yang meninggal dunia baru-baru ini dilaporkan bakal mewarisi sejumlah harta kekayaan bernilai RM796.1 juta yang ditinggalkan oleh ikon fesyen terkenal itu.

Karl yang juga merupakan pengarah kreatif bagi jenama antarabangsa Chanel selama lebih daripada tiga dekad disahkan meninggal dunia di Paris pada Selasa lalu ketika berusia 85 tahun.

choupettesdiary/Instagram

Choupette yang merupakan kucing peliharaan Karl turut dianggap sebagai ikon dalam industri fesyen dunia dan menjadi bintang sensasi media sosial. Choupette memiliki sejumlah 120,000 pengikut di laman sosial Instagramnya dan kucing terkenal ini juga mempunyai blog sendiri yang dijalankan oleh pakar pemasaran digital, Ashley Tschudin.

Menurut akhbar Perancis Le Figaro, di bawah undang-undang Jerman, Choupette mungkin bakal mewarisi harta Karl seandainya mendiang menamakan kucing betina itu sebagai ‘warisnya’.

“Choupette mempunyai tuahnya sendiri Choupette adalah seekor pewaris,” kata Karl tentang haiwan peliharaan kesayangannya itu dalam satu temubual pada tahun 2015.

choupettesdiary/Instagram

Malah, ketika ditemubual oleh Numéro pada tahun 2018 yang meminta beliau mengulas lanjut khabar angin tentang Choupette sebagai pewaris kekayaannya, Karl hanya mengulang kembali kenyataan yang sama.

“Dalam kalangan yang lain-lain, ya. Jangan risau, harta ini cukup untuk semua orang,” kata Karl yang mendedahkan bahawa individu terdekat juga bakal mewarisi sedikit sebanyak hartanya.

choupettesdiary/Instagram

Buat masa ini, belum ada laporan rasmi tentang siapa yang akan menjaga Choupette namun khabar angin menyatakan bahawa model lelaki kegemaran Karl iaitu Brad Kroenig dan anak lelakinya, Hudson yang merupakan ‘bapa angkat’ Choupette akan memikul tanggungjawab tersebut.

choupettesdiary/Instagram

Sementara itu, Debbie Ugbo yang merupakan ahli Wills and Probate di firma perundangan Slater and Gordon menyatakan bahawa meletakkan nama haiwan sebagai waris adalah satu perkara yang jarang berlaku.

“Hadiah tunai yang ditinggalkan untuk haiwan selepas kematian akan gagal memandangkan haiwan tidak boleh memiliki wang tunai atau menerima waris harta secara sah. Pelaksana wasiat bagaimanapun harus memegang amanah dan menggunakan wang berkenaan untuk membiayai kebajikan haiwan dan perbelanjaan lain yang berkaitan.”

Sumber: IndipendentSinchew

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP GLOBAL

Video Popular