Pegawai kesihatan di Filipina mengatakan lebih daripada 130 orang, kebanyakannya kanak-kanak, meninggal dunia akibat demam campak dan 8,400 yang lain telah jatuh sakit. Separuh daripada kanak-kanak yang meninggal dunia itu berumur antara satu hingga empat tahun dan sebahagian besarnya tidak mengambil vaksin.

New York Post

Sepanjang Januari lalu, jumlah kes demam campak dilaporkan meningkat 1000 peratus di bandar metropolitan Manila berbanding tahun lalu dan punca utama kerana penurunan pengambilan vaksin dalam kalangan kanak-kanak.

Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque III berkata, imunisasi besar-besaran yang bermula minggu lalu di Manila dan empat wilayah mungkin akan membuat wabak tersebut berhenti menular menjelang April.

“Tidak ada jika, tidak ada tetapi, tidak ada syarat, anda hanya perlu membawa anak-anak anda dan percaya bahawa vaksin … akan menyelamatkan anak-anak anda,” kata Duque kepada ibu bapa. “Itu jawapan mutlak untuk wabak ini.”

ABS-CBN News

Dalam mesej televisyen pada hari Jumaat lalu, Presiden Rodrigo Duterte memberi amaran tentang komplikasi yang membawa maut dan mendesak agar kanak-kanak diimunisasi.

Duque berkata kempen maklumat kerajaan membantu memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap program imunisasi pihak berkuasa, yang dicemari pada 2017 oleh kontroversi mengenai vaksin demam anti-denggi yang dibuat oleh pengasas ubat Perancis, Sanofi Pasteur yang mana dikaitkan dengan kematian sekurang-kurangnya tiga orang kanak-kanak.

Kerajaan Filipina menghentikan imunisasi anti-denggi selepas Sanofi berkata satu kajian menunjukkan vaksin tersebut boleh meningkatkan risiko jangkitan denggi yang teruk.

Lebih 830,000 kanak-kanak disuntik dengan vaksin Dengvaxia di bawah kempen yang dilancarkan pada tahun 2016 di bawah Presiden Benigno Aquino III. Kempen itu berterusan di bawah Duterte sehingga ia dihentikan pada tahun 2017.

Al Jazeera

Campak adalah penyakit pernafasan yang sangat berjangkit disebabkan oleh virus yang boleh disebarkan melalui bersin, batuk dan hubungan peribadi yang rapat.

Komplikasi termasuk cirit-birit, jangkitan telinga, radang paru-paru dan ensefalitis – atau bengkak otak – yang boleh mengakibatkan kematian.

Bimbang jika wabak itu merebak ke Sabah, kerajaan Negeri Sabah sedang mempertimbangkan untuk memberi vaksin kepada semua kanak-kanak tanpa mengira kerakyatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui halaman Facebook menasihatkan orang ramai, “sebelum wabak ini merebak, pastikan anak anda telah divaksin”.

Sumber: Al Jazeera, Kementerian Kesihatan Malaysia/Facebook

 

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL KESIHATAN

Video Popular