Yani Novitasari, 37, duduk di lantai di tengah-tengah kelas yang kosong, sedang cuba untuk mengimbangkan akaun menggunakan cara lama. Ketika itu kanak-kanak yang hadir ke sekolah bagi sesi pagi sudah pulang dan tiba masanya untuk waktu pembelajaran bagi sesi petang pula.

Di sebelahnya, suaminya, Undung Suryaman, 42, kelihatan senyap. Pasangan ini membuka tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak bersama-sama.

“Untuk bulan Oktober, kami  terima Rp 420,000 (sekitar RM 124.00). Kami membelanjakan Rp 175,000 (sekitar RM 52.00) untuk buku, Rp 110,000 (RM32.00) untuk elektrik dan Rp 40,000 (RM 12.00) untuk air. Kami hanya memiliki baki sebanyak Rp 95,000 (RM28.00) lagi,” kata Yani.

“Kami kekurangan Rp 870,000 (RM 256.00) dan itu tidak termasuk gaji guru lagi.” Dengan kata lain, sekolah itu benar-benar dalam keadaan kekurangan duit.

Apabila ditanya bagaimana mereka akan membayar gaji guru yang mengajar mereka mula mengalirkan air mata, tetapi itu bukan air mata kesedihan tetapi air mata kesyukuran.

BERHENTI SEKOLAH DAN MENJADI ‘BANG JACK’

Ketika Undung berada di sekolah rendah, apa yang dia mahukan ialah untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan mungkin ke peringkat universiti. Namun sebaliknya berlaku apabila ibu bapanya memintanya untuk membantu mereka dan untuk itu dia harus berhenti sekolah. “Saya mempunyai cita-cita tetapi tidak dapat mencapainya,” kata Undung.

Semasa berusia 19 tahun, Undung bagaimanapun masuk ke Universiti Padjadjaran – salah sebuah institusi pengajian tinggi Indonesia namun bukan sebagai pelajar. Dia bekerja sebagai petugas tempat letak kereta daripada jam 8 pagi hingga 6 petang. Dia begitu gembira kerana berpeluang untuk pindah ke bandar serta mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Walaupun ketika itu Undung hanya memperolehi pendapatan kurang daripada RM 0.50 untuk setiap kereta yang diletakkan namun dia hanya membiarkan pelajar yang miskin meletakkan kenderaan mereka secara percuma.

Undung suka dengan persekitaran di universiti itu. Dia bukan sahaja berkawan malah dapat menimba ilmu pengetahuan dari pelajar-pelajar di situ. Dia mula menyedari bahawa setiap orang  mempunyai pandangan yang berbeza mengenai kehidupan.

“Orang yang tidak berpendidikan cenderung untuk memikirkan diri mereka sendiri sahaja. Maksudnya jika pada saya sudah cukup makan itu sudah mencukupi,” kata Undung.

“Tetapi bagi orang yang berpendidikan tinggi, mereka berfikir lebih daripada itu. Mereka berfikir bagaimana untuk mengubah dan memperbaiki kehidupan mereka untuk masa depan.”

Sikap mesra dan baik hatinya membuatkan Undung digelar “Bang Jack” oleh warga kampus. Dia juga merupakan salah seorang pekerja di universiti yang paling terkenal kerana sudah bekerja lebih daripada 23 tahun.

IMPIAN JADI KENYATAAN

Apabila Undung dan isterinya mula memikirkan rancangan untuk menubuhkan sebuah sekolah bagi golongan miskin, ramai orang di kawasan kejiranan mengejek mereka. Malah keluarga mereka sendiri juga ragu-ragu dengan apa yang cuba mereka lakukan.

Sebahagian daripada mereka berkata, ‘Bagaimana dia boleh membantu orang lain sedangkan dia sendiri tidak dapat membantu diri sendiri dan keluarganya?’

“Saya mahu membuktikan yang mereka salah dan menunjukkan kepada mereka bahawa saya mampu,” kata Undung.

Pasangan tersebut memiliki empat orang anak dan kini tinggal di Rancaekek, sebuah kampung kecil yang terletak 25 kilometer dari Kota Bandung di Jawa Barat.

Kebanyakan penduduk kampung masih dibelenggu kemiskinan dan harus melakukan pelbagai kerja untuk menyara kehidupan. Golongan lelaki biasanya bekerja dalam sektor pembinaan dan kilang manakala golongan wanita pula bekerja sebagai penjual di pasaran tempatan. Pendapatan mereka walau bagaimanapun sangat sedikit sehingga mereka tidak mampu untuk menyekolahkan anak-anak mereka.

Melihat ramai kanak-kanak yang tidak mendapat peluang untuk belajar telah mengingatkannya pada zaman kanak-kanaknya yang lalu. Sepanjang dua dekad bekerja, dia menyaksikan sendiri ramai kawannya dari Universiti Padjadjaran yang telah meraih pelbagai pencapaian besar dalam hidup mereka. Dia juga mahukan anak-anaknya serta ratusan anak muda di kampungnya mendapat peluang yang sama. Jadi, baginya satu-satunya cara untuk keluar daripada kemiskinan ialah dengan pendidikan.

Lima tahun yang lalu, pasangan itu mengambil risiko dan menghabiskan semua simpanan mereka untuk menubuhkan Tadika Nabilatul Husna dan pusat penjagaan kanak-kanak yang pada mulanya ditubuhkan di masjid tempatan, kemudian di rumah mereka sendiri yang kecil dan sempit.

Sekolah tersebut menawarkan pendidikan prasekolah formal pada waktu pagi. Sesi tengah hari dan petang pula untuk kanak-kanak sekolah rendah yang memberi tumpuan utama dalam bidang keagamaan. Apa yang membuatkan sekolah mereka unik ialah ibu bapa pelajar bebas untuk membayar berapa sahaja yuran pendidikan.

“Bagi mereka yang tidak mampu, mereka boleh pergi ke sekolah ini secara percuma, namun pendidikannya sama dengan sekolah-sekolah dengan bayaran yang mahal,” kata Yani. Prasekolah bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada jam 11 pagi.

BERKORBAN DALAM HIDUP

Sekolah tersebut kini memenuhi keperluan sekitar 200 orang kanak-kanak. Masih ramai yang mahu ke sekolah mereka tetapi mereka terpaksa menolak kerana kekurangan ruang dan sumber. Untuk membiayai segala kos kira-kira Rp 6 juta (RM1,770.00) sebulan diperlukan dan baru-baru ini, mereka terpaksa membelanjakan lebih banyak wang untuk menampung lebih banyak pelajar,

Kini pembinaan bangunan sekolah sedang giat dilakukan. Lima tahun dahulu Undung tidak menyangka bahawa dia akan membeli tanah dan membina sekolahnya sendiri.

Sumber utama dana untuk sekolah ini ialah sumbangan yang diterima dari masyarakat dan kawan-kawan yang bermurah hati di universiti. Mereka juga mendapat sumbangan  dari orang ramai selepas sekolah tersebut menerima liputan daripada media tempatan. Namun semua itu masih tidak mencukupi. Setiap bulan Undung akan menggunakan wangnya sendiri untuk memastikan persekolahan berjalan lancar.

Mereka menggunakan begitu banyak wang mereka sendiri, sehingga kadang-kadang mempengaruhi pembelajaran anak-anak mereka sendiri. Anak mereka yang sulung pula terpaksa belajar di universiti secara sambilan kerana yuran pengajian sepenuh masa adalah lebih mahal.

Pengorbanan sedemikian telah menjadi perkara biasa, tetapi anak-anak mereka cuba untuk tidak mengeluh atau mengadu. Ada antara mereka yang sudah remaja dan faham apa yang ibu bapa mereka lakukan. Sebagai ibu bapa pula mereka bersyukur kerana anak-anak sentiasa memahami dan menyokong usaha mereka.

Pasangan itu juga merasa sangat berterima kasih kepada tujuh orang guru yang bekerja di sekolah mereka. Guru-guru tersebut bukan sahaja membantu mencari dana sekolah malah mereka juga sentiasa bersabar apabila diperkatakan tentang gaji mereka.

Ditanya bagaimana pula jika tiada dana yang diterima, mereka menjawab dengan mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai pilihan selain menangguh bayaran gaji guru-guru dan menunggu sehingga mempunyai wang.

Kata Undung, “saya percaya yang mungkin hari ini kita tidak mempunyai apa-apa tetapi esok mungkin kita akan memiliki sesuatu.”

Mungkin orang ramai hanya melihatnya sebagai seorang penjaga tempat letak kereta tetapi apa yang dilakukan adalah sesuatu yang besar dan tidak semua orang mampu melakukannya. Sungguh, apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang cukup luar biasa!

Ikuti penceritaan “Bang Jack” melalui video di bawah:

Sumber:  CHANNEL NEWSASIA

Maybe you're interested :

Share

Video Popular