Sambutan Tahun Baru Cina pasti tidak akan sama sekiranya kita tidak mendengar bunyi gendang cina dan gong yang mengiringi persembahan tarian singa. Akan tetapi, tahukah anda di sebalik tabir persembahan tarian singa yang berwarna-warni dan menghiburkan, terdapat pelaku-pelakunya yang terdiri daripada anak muda gigih yang kurang mendapat pengiktirafan dan penghargaan?

Beberapa hari yang lalu, seorang netizen yang merupakan salah seorang penghibur dan penari dalam kumpulan tarian singa di Negeri Sembilan telah berkongsi rasa kecewa dan dukacitanya di halaman Facebook tentang bagaimana masyarakat sering mengaitkan mereka yang mempersembahkan tarian singa dengan stereotaip yang berbentuk negatif.

FMT /Gambar Hiasan

Netizen ini menulis, “Atas sebab-sebab tertentu, ramai penghibur tarian singa sering dikaitkan dengan tanggapan negatif oleh masyarakat dan mereka sering dilabel sebagai golongan yang bermasalah yang suka merokok, bergaduh dan mempunyai tatu. Tetapi apa yang tidak pernah dilihat ialah ‘pembuat masalah’ inilah orangnya yang meluarkan masa pada hari pertemuan semula dengan ahli keluarga mereka pada Tahun Baru Cina kerana menjalankan tugas membuat persembahan tarian singa di rumah anda.”

The Star / Gambar Hiasan

Tambah netizen ini, “Mereka membuat persembahan dan menghiburkan anda di bawah sinaran terik matahari sambil membiarkan peluh menitik membasahi tubuh badan. Tangan mereka melecet akibat pergerakan menggerakkan kepala singa yang berat. Kaki mereka keletihan dan terasa sakit serta kadangkala membengkak akibat terlalu banyak melakukan persembahan. Ada pula yang tercedera terkena mercun sementara terdapat penari yang berasa sesak nafas selepas menyedut asap mercun dan bunga api.”

“Pada hari pertama Tahun Baru Cina, semasa anda semua sedang bermain kad dan memakan kuih raya di dalam rumah berhawa dingin, mereka bertungkus-lumus bekerja di bawah terik matahari dengan perut yang kosong. Ada kumpulan yang dimarahi kerana mereka tiba lewat pada waktunya, tetapi tahukah anda hanya sedikit sahaja jumlah ‘ang pau’ yang mereka perolehi?”

Tam Wintham / Facebook

Tulisnya lagi, “Anda boleh memakai pakaian baru dan mengambil gambar keluarga dengan orang tersayang, tetapi penghibur tarian singa akan melepaskan peluang itu begitu sahaja kerana mereka sangat sibuk bertugas dari rumah ke rumah untuk melakukan persembahan dan menghiburkan anda semua. Mereka tidak mempunyai masa itu untuk melawat saudara-mara dan sahabat handai.”

Netizen ini menambah satu sebab mengapa para penghibur tarian singa ini kekal komited dengan tugas menghibur belakang tabir ialah mereka ingin mengekalkan budaya dan tradisi nenek moyang yang telah dipelihara selama lebih 1,000 tahun supaya generasi akan datang akan terus menikmati dan berpeluang melihat serta mengenali persembahan tarian singa dalam kehidupan sebenar.

The Star /Gambar Hiasan

Tulis netizen ini lagi, “Sekiranya anda bertemu dengan para penghibur tarian singa, jadilah sedikit pemurah. Belikan mereka minuman atau berikan mereka sokongan dan senyuman. Jadilah golongan yang lebih memahami apabila mereka terlewat sedikit untuk membuat persembahan ke rumah anda kerana tiada siapa yang berasa suka untuk dimarahi atau diherdik ketika Tahun Baru Cina.”

Tam Wintham / Facebook

Para penghibur tarian singa patut dihargai sebagai wira sebenar semasa Tahun Baru Cina, kerana mereka sanggup mengorbankan masa yang amat berharga bersama keluarga demi memberi sambutan perayaan yang meriah dan kegembiraan kepada orang lain. Tanpa tarian singa, suasana perayaan Tahun Baru Cina sudah pasti hilang serinya dan tidak bermakna.

Sumber : Tam Wintham/Facebook

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular