Bukan sahaja membersihkan bahan masakannya dengan teliti malah dia turut memberus gigi ikan yang akan dimasaknya. Itulah rutin yang sering dilakukan oleh Bashah Othman, 82 atau lebih dikenali sebagai Tok Besah. Bunyinya agak pelik namun semua itu dilakukan bagi menjamin kebersihan dan kelazatan setiap makanan yang dimasak.

Menurut anaknya, Mohamad Ismail Amir, 36, ibunya sangat suka memasak dan ibunya dikatakan tidak pernah berhenti memasak sejak 70 tahun lalu. Selain masakannya menjadi kesukaan ramai, ibunya juga tidak kedekut untuk berkongsi resipi masakannya.

MyMetro

Tok Besah memang suka memasak dan masakan paling enak dan sering dimasaknya ialah gulai kepala ikan dan kuah laksa.

“Emak memang tukang masak terbaik di kampung, malah kuah laksanya paling diminati orang kampung di Permatang Tok Gelam, Butterworth, Pulau Pinang,” tambahnya lagi.

Selain itu, Tok Besah juga masih mengamalkan beberapa tips memasak dan turut mengekalkan kaedah tradisi. Menurutnya, setiap resipi yang dihasilkan perlu memenuhi beberapa kriteria antaranya bahan mentah yang digunakan mestilah segar dan asli.

“Ibu tidak pernah langsung menggunakan bahan perasa tiruan dalam setiap masakannya. Setiap masakannya masih mengekalkan unsur tradisi seperti membakar belacan, membuat kerisik sendiri, menghasilkan minyak kelapa dan pelbagai lagi,” ujar Mohamad Ismail lagi.

Tok Besah dikatakan belajar memasak dari arwah ibunya Che Liah Din, yang juga sebahagian wanita Kampung Permatang Tok Gelam yang hebat memasak pada tahun 1900-an.

Menurut Mohamad Ismail, dia adalah anak bongsu daripada tiga beradik, kakak sulung dan abangnya tidak berapa gemar memasak dan memasak biasa-biasa sahaja.

“Berbeza dengan saya, sejak kecil saya tinggal bersama ibu dan sejak itu saya mula mempelajari ilmu masakan darinya. Dahulu saya selalu membantu ibunya memasak dan kini saya dapat menguasai semua masakan ibu,” katanya.

YouTube/Gambar Hiasan

Mohamad Ismail berkata, hasil didikan ibunya dalam masakan, dia berjaya menyertai rancangan MasterChef Malaysia musim kedua dan berjaya sehingga ke peringkat 10 terbaik dari 40 peserta. Namun dia terpaksa menarik diri kerana permohonan cuti tanpa gajinya sebagai guru sudah tamat tempoh dan perlu kembali mengajar di sekolah.

Mohamad Ismail juga pernah merakam video ibunya membersihkan ikan dan memberus gigi ikan itu supaya bersih.

“Video itu kemudian dimuat naik sehingga mendapat perhatian ramai pengguna laman sosial yang menganggapnya unik. Sejak itu, ibu saya mula dikenali malah ada yang menyukainya dan menghantar pakaian dan hadiah kepadanya,” katanya.

Menurut Mohamad Ismail lagi, ibunya sangat menitikberatkan kebersihan makanan. Setiap makanan yang hendak dimakan haruslah bersih dan halal kerana ia akan menjadi darah dan daging kita.

Tambahnya lagi, setakat ni ibunya tidak pernah membuat kelas masakan dalam talian namun dia ingin bekerjasama dengan pihak di luar sana yang berminat untuk membukukan semua resepi masakan tradisional ibunya.

“Jika ada rezeki, saya juga ingin membukukan resepi warga emas yang lain atau dapat mengadakan satu segmen masakan warisan,” katanya.

Mohamad Ismail berkata, ibunya juga ada bercadang untuk membuka sebuah restoran dan menamakannya sebagai ‘Teratak Makan Tok Besah’.

Sumber: Harian Metro Online

Maybe you're interested :

Share

Video Popular