WASHINGTON – White House mengesahkan Presiden Donald Trump akan mengisyitiharkan darurat kebangsaan untuk memuktamadkan peruntukan dana bagi membiayai pelan pembinaan tembok sempadan Amerika Syarikat-Mexico, serta pada masa yang sama akan menandatangani perundangan bagi menghalang penutupan kerajaan buat kali kedua daripada berlaku.

Rang undang-undang yang diluluskan di Dewan Senat memperolehi 300 hingga 128 undian dan kini akan ditandatangani oleh Presiden Donald Trump pada pagi Jumaat.

Charlotte Cuthbertson / The Epoch Times

Tarikh akhir bagi mengelak penutupan kerajaan persekutuan buat kali kedua ialah pada 15 Februari 2019.

Setiausaha Akhbar White House, Sarah Sanders dalam kenyataannya berkata, “Presiden Trump akan menandatangani rang undang-undang pembiayaan kerajaan, dan seperti yang telah beliau katakan sebelum ini, kuasa eksekutif juga akan diambil termasuk mengisytiharkan darurat kebangsaan bagi memastikan pihak kami dapat menghentikan masalah keselamatan kebangsaan dan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di sempadan.”

Setiausaha Sanders turut menyatakan, “Presiden Trump sekali lagi menyatakan janjinya untuk merealisasikan pembinaan tembok bagi melindungi sempadan dan keselamatan negara hebat kita.”

Pengumuman White House itu adalah lanjutan yang mengesahkan kenyataan pemimpin Majoriti Senat, Mitch McConnell dalam ucapannya kepada Dewan Senat pada 14 Februari, yang telah melaporkan bahawa beliau telah bercakap dengan Presiden Trump yang sudah bersedia untuk menandatangani rang undang-undang pembiayaan kerajaan dan beliau akan berdiri teguh di belakang keputusan Presiden.

Time/Twitter

Tambah Mitch McConnell, “Presiden juga akan mengisytiharkan darurat kebangsaan pada masa yang sama. Saya dijangka akan menyokong beliau berkenaan pengisytiharan darurat kebangsaan.”

Pentadbiran Trump dijangka akan mengelakkan pertikaian kewangan yang melibatkan kira-kira 800,000 kakitangan persekutuan yang telah bekerja tanpa dibayar gaji atau diarah bercuti tanpa gaji disebabkan penutupan separa kerajaan. Akan tetapi, pengisytiharan darurat akan melibatkan lebih banyak komplikasi, dengan tuntutan undang-undang dan saman terhadap pentadbiran Trump yang semakin berkeras dengan keputusannya.

Apabila ditanya sama ada pihak pentadbiran White House sudah bersedia dengan pelbagai cabaran yang akan ditempuhi, Setiausaha Sanders berkata, “Pihak kami amat bersedia, tetapi tidak akan ada halangan dari segi undang-undang. Presiden sedang melakukan tugasnya, ahli-ahli kongres seharusnya juga melakukan tugas mereka”

Chip Somodevilla / Getty Images

Presiden Trump akan menandatangani perjanjian kongres yang akan meluluskan pembiayaan hampir USD1.4 bilion (RM5.7 bilion) dalam pelan pembinaan tembok sempadan halangan fizikal, kurang daripada peruntukan yang dimohon oleh Trump iaitu sebanyak USD 5.7 bilion (RM23 bilion).

Perunding di Washington telah mencapai persetujuan secara prinsip pada 12 Februari 2019 untuk membiayai kerajaan menjelang tarikh akhir. Ukuran pembiayaan dana itu adalah melalui tahun fiskal yang berakhir pada 30 September.

Pembiayaan kerajaan untuk pembinaan tembok sempadan telah membangkitkan perbalahan politik yang telah melumpuhkan pentadbiran Washington. Akibat gagal mendapat persetujuan Demokrat untuk memberi kelulusan akan dana itu, Presiden Trump telah enggan menandatangani pembiayaan dana tidak berkaitan kerajaan untuk kakitangan separa kerajaan seperti penguatkuasa undang-undang dan pekerja muzium di seluruh negara.

Joe Raedle / Getty Images

Akibatnya, pada akhir tahun lalu ketika menjelang Krismas, penutupan separa kerajaan telah memecahkan rekod kerana menjadi paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat iaitu selama 35 hari. Kedegilan Trump untuk mendapatkan pembiayaan membina tembok sempadan Amerika Syarikat-Mexico dan penolakan oleh demokrat telah menyebabkan penutupan pertama bagi sebahagian kerajaan.

Parti Demokrat sering berpendapat pembinaan tembok di sempadan adalah ‘tidak berkesan’ dalam menghentikan masalah keselamatan dan jenayah yang berlaku setiap hari, sambil mengatakan keputusan Trump sebagai ‘tidak bermoral’. Pada tahun 2018, seramai 400,000 orang pendatang asing telah ditahan oleh pihak berkuasa dan pengawal sempadan Amerika Syarikat yang telah cuba menyeberangi sempadan secara haram.

Demokrat enggan berganjak dengan pendirian tawaran awal pembiayaan USD1.3 bilion (RM5.3 bilion) bagi tujuan keselamatan sempadan, yang tidak termasuk dalam dana membiayai pembinaan dinding sempadan. Ketika ini, tembok penghalang sempadan sepanjang 654 batu (1,052 kilometer) telah dibina di sepanjang sempadan Amerika Syarikat-Mexico yang sejauh 2,000 batu (3,219 kilometer).

Sumber : The Epoch Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Benua Amerika GLOBAL

Video Popular