Pada awal minggu ini, Nathaniel Styer melihat seekor kucing berada di luar tingkap pangsapurinya. Kucing tersebut seolah-olah meminta untuk dibawa masuk ke dalam rumah kerana cuaca diluar yang terlalu sejuk.

Nathaniel Styer

Angin kencang dan salji lebat yang dibawa oleh vorteks kutub, atau dikenali sebagai “snow squall” membuatkan kawasan sekitar Brooklyn diliputi dengan salji yang memutih.

Kucing itu melompat ke atas tebing tingkap dan mencakar serta menggosok cermin tingkap. “Kucing itu 100 peratus meminta untuk dibawa masuk ke dalam,” kata Styer kepada The Dodo.

Dia memanggil kucing itu sebagai Chunk Chunk, salah seekor anggota koloni kucing liar yang hidup berdekatan. Styer tahu Chunk Chunk sedang dalam kesejukan – dan dia terpaksa bertindak untuk menyelamatkannya.

“Saya tidak pernah melihatnya bertindak seperti ini sebelum ini. Ia jelas bahawa Chunk Chunk tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila menghadapi ribut salji,” kata Styer.

Styer tidaklah begitu mengambil perhatian tentang kucing-kucing liar yang berkeliaran di kawasan itu, tetapi tunangnya, Renee Becerra selalu meluangkan masa menjaga koloni kucing itu. Chunk Chunk muncul beberapa kali pada musim luruh, menjadikannya salah seekor ahli baru koloni, dan Chunk Chunk kelihatan tidak begitu bersedia untuk menempuh cuaca yang ekstrem.

“Saya tidak begitu setuju untuk membawa kucing masuk ke dalam rumah, tetapi saya tahu Renee pasti benar-benar mahu saya membantu Chunk Chunk,” jelasnya. “Saya cintakan Renee dan saya tahu bahawa membantu Chunk Chunk adalah perkara yang tepat untuk dilakukan.”

Styer membuka tingkap dan membiarkan Chunk Chunk masuk ke dalam rumah. Tetapi apabila Chunk Chunk selamat daripada kesejukan yang melampau, Chunk Chunk tidak pasti apa yang perlu dilakukan.

“Dia membenarkan saya memegangnya, sesuatu yang tidak biasa bagi kucing liar. Apabila saya meletakkannya ke bawah, Chunk Chunk terus berlari di sekitar rumah dan cuba melarikan diri melalui tingkap lain. Chunk Chunk tahu tingkap itu tertutup apabila berlari ke arahnya,” kata Styer.

Kredit: Nathaniel Styer

Styer meletakkan Chunk Chunk di bilik mandi, jauh dari anjing mereka. Apabila Becerra pulang, dia tidak terkejut kerana dia mengenali Chunk Chunk.

“Dari pertama kali Chunk Chunk muncul di tingkap kami, Chunk Chunk menjadi salah seekor kucing liar yang paling ramah yang pernah saya jumpai. Chunk Chunk meminta untuk diusap dan purring dalam beberapa saat,” kata Becerra kepada The Dodo.

Kredit: Renee Becerra

Sejak berpindah ke pangsapuri mereka dua tahun yang lalu, pasangan itu telah membantu beberapa anak-anak kucing yang sesat, dan ketika musim bunga datang, Becerra merancang untuk memerangkap seberapa banyak kucing dewasa untuk memandulkan mereka. Namun, Chunk Chunk mempunyai tanda di telinganya, tanda yang menunjukkan bahawa telah dimandulkan.

Kredit: Renee Becerra

Becerra telah cuba membantu komuniti kucing liar menghadapi cuaca sejuk dan menggalakkan orang lain melakukan perkara yang sama.

“Musim sejuk adalah waktu paling sukar bagi kucing-kucing ini,” kata Becerra.

“Saya telah membina tiga tempat perlindungan musim sejuk dan sentiasa menyediakan makanan. Tempat perlindungan musim sejuk boleh dibeli dari beberapa tempat perlindungan kucing tetapi ia juga sangat mudah untuk dibina sendiri,” tambah Becerra.

Kredit: Renee Becerra

Sedangkan bagi Chunk Chunk, tidak mungkin kucing comel itu akan berani lagi menghadapi cuaca sejuk.

“Kami masih memikirkan apa yang akan berlaku kepada Chunk Chunk, tetapi dalam masa yang sama, Chunk Chunk akan tinggal bersama kami,” kata Becerra.

“Chunk Chunk nampaknya lebih sesuai untuk hidup di dalam rumah berbanding di luar, jadi saya akan menghubungi kenalan kami di ASPCA untuk melihat sama ada mereka boleh membantu saya mencari sesiapa yang mahu memeliharanya,” akhiri Becerra.

Sumber: The Dodo

 

Maybe you're interested :

Share

Video Popular