BANGKOK – Salah seorang anggota keluarga diraja Thailand iaitu Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi dilaporkan akan bertanding dalam pilihanraya umum pada 24 Mac ini bagi merebut jawatan sebagai Perdana Menteri Thailand.

Menurut agensi berita Andolu, Puteri Ubolratana yang merupakan kakak kepada Raja Maha Vajiralongkorn akan menyertai pilihanraya umum berkenaan dan bertanding di bawah tiket Parti Thai Raksa Chart.

Independent

Berita mengenai penyertaan beliau sebagai calon telah diumumkan sendiri oleh pemimpin parti, Preechapol Pongpanich.

“Beliau berpengetahuan dan sangat sesuai. Saya percaya tiada masalah dari segi perundangan berkaitan kelayakannya. Tetapi, kita masih menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan pencalonannya,” kata Pongpanich.

Bagaimanapun, tindakan Puteri Ubolratana ini menerima kritikan hebat daripada Raja Thailand yang menegaskan bahawa kakaknya telah memecah tradisi dan mencemarkan imej institusi keluarga diraja dengan menyertai pilihan raya.

UtusanOnline

Jelas penganalisis politik antarabangsa iaitu Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed, “Penghormatan yang tinggi kepada institusi diraja menyebabkan keadaan politik tidak terlalu bergolak dan ia merupakan sifat unik yang ada pada Thailand”.

“Namun, apabila ada ahli kerabat contohnya kakak sulung kepada Raja Thailand ingin melibatkan diri dalam politik, ia akan mencemarkan imej institusi diraja Thailand. Ini kerana institusi diraja Thailand akan mempengaruhi persepsi masyarakat”.

Tambahnya lagi, institusi diraja Thailand disanjung tinggi serta menjadi simbol untuk menyatupadukan rakyat yang terbahagi kepada dua fahaman politik iaitu kumpulan merah dan juga kuning. Justeru, penglibatan Puteri Ubolratana, 68 tahun untuk bertanding dalam parti bekas pimpinan Thaksin akan menyebabkan wujudnya tanggapan negatif dalam kalangan rakyat jelata.

Parti Thai Raksa Chart merupakan parti pembangkang yang ditubuhkan oleh bekas perdana menteri Thailand iaitu Thaksin Shinawatra bersama kakaknya, Yingluck setelah pentadbiran mereka digulingkan menerusi rampasan kuasa pada tahun 2014.

Puteri sulung itu yang kini menjadi rakyat biasa setelah melepaskan gelaran dirajanya untuk berkahwin dengan seorang warga Amerika Syarikat memutuskan  akan memberikan perkhidmatan terbaik demi kepentingan penduduk Thailand.

BeritaHarian.sg

Namun demikian, para penganalisis politik berpendapat bahawa penyertaan beliau sebagai calon perdana menteri mungkin akan dibatalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya setelah menerima teguran daripada Raja Thailand.

Sumber: Sinar HarianBH OnlineAstro AWANI

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular