Kita sering mendengar para isteri sering merungut mengatakan suami mereka hanya romantik sebelum berkahwin atau pada awal perkahwinan sahaja ketika fasa bulan madu.

Apabila diajukan soalan ini kepada para suami, mereka mungkin berkata, “Biasalah, waktu mahu memikat dahulu, kenalah usaha lebih, nanti takut terlepas ke tangan orang lain.”

Kadangkala perkara yang sekecil ini mampu menimbulkan pertelingkahan dalam rumahtangga.

@Izzatierahmat/Twitter

Tetapi amat berbeza pula dengan pasangan ini yang menjadi perhatian netizen di media sosial ekoran gelagat isteri yang malu-malu kucing apabila diberikan hadiah sebentuk cincin oleh suaminya pada sambutan hari kelahiran.

Rakaman video yang menjadi tular telah dikongsi oleh anak perempuan mereka menerusi laman Twitter itu telah mendapat perhatian netizen yang rata-rata memberikan komen positif terhadap aksi romantik pasangan ini.

@Izzatierahmat/Twitter

Video yang dirakam Nor Izzatie Rahmat itu menunjukkan reaksi ibunya yang tersipu malu apabila menerima kejutan daripada ayahnya yang meletakkan sebentuk cincin di dalam sebuah kotak yang dipenuhi dengan coklat ketika menyambut ulangtahun kelahiran wanita bertuah ini di sebuah restoran.

Menurut Izzatie, ayahnya, Rahmat Mokhtar, memang seorang yang sangat romantik, kerana sering membuat kejutan buat ibunya.

@Izzatierahmat/Twitter

Menurut MStar, Izzatie berkata, “Ayah memang suka membuat kejutan untuk ibu. Ia merupakan acara wajib setiap tahun. Setiap kali tiba hari jadi ibu, dia akan mengajak kami membuat kejutan untuknya.”

Ibu Izzatie yang merupakan seorang guru tadika juga sering mendapat hadiah daripada ayahnya ketika menyambut sambutan hari guru di mana ayahnya akan memberi bunga, coklat dan juga kad ucapan.

@Izzatierahmat/Twitter

Tambahnya lagi, “Ayah suka tunjukkan kasih sayang terhadap ibu dan itu membuatkan kami adik-beradik mendambakan untuk memiliki seorang suami seperti ayah.”

Izzatie yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu turut menyifatkan kedua ibu bapanya sebagai pasangan yang romantik dan suka berjenaka.

@Izzatierahmat/Twitter

Kata Izzatie, “Walaupun sudah 23 tahun berkahwin, tetapi mereka tetap berkasih sayang dan kelihatan nampak manis seperti pasangan baru bercinta.”

Lihat rakaman video romantik ini di bawah.

Sumber : SAYS@Izzatierahmat/Twitter

Maybe you're interested :

Share

Video Popular