KOTA KINABALU – Seekor ikan jerung paus jantan sepanjang 4.61 meter ditemui mati terdampar di pantai Tanjung Aru, Menumbuk pada 5 Februari lalu oleh seorang guru yang sedang berjoging di kawasan tersebut. Guru tersebut terus menghubungi Jabatan Hidupan Liar untuk memaklumkan akan kejadian itu.

Menurut pengurus unit penyelamat hidupan liar, Dr Sen Nathan, hasil bedah siasat yang dijalankan di tempat kejadian, satu beg plastik besar berukuran 46 sentimeter panjang dan 32 sentimeter lebar ditemui dalam organ penghadaman mamalia tersebut.

“Apabila bedah siasat selesai, kami terkejut ketika mendapati beg plastik besar berukuran 46cm dengan lebar 32cm yang menyebabkan halangan fizikal dalam saluran gastrointestinalnya. Ini jelas menunjukkan punca kematian adalah disebabkan oleh halangan usus yang membawa kepada kebuluran dan kematian.” kata Dr Sen Nathan.

Malay Mail via Sabah Wildlife Department

Ini adalah beg plastik yang ditemui oleh kakitangan Unit Penyelamat Hidupan Liar Sabah di dalam perut ikan jerung paus yang menyebabkan ikan itu kelaparan dan akhirnya mati.

Malay Mail via Sabah Wildlife Department

Mengulas mengenai kes itu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga menegaskan masalah pencemaran plastik di lautan adalah serius sehingga menjadi ancaman kepada hidupan laut marin di Malaysia.

Menurut Tuuga, penyelesaian terbaik untuk melindungi haiwan marin adalah sama ada melupuskan plastik dengan cara yang betul atau berhenti menggunakannya.

“Ini sepatutnya menjadi peringatan kepada kita bahawa pelupusan plastik dengan cara yang betul atau lebih baik tidak menggunakan beg plastik dan peralatan plastik lain akan menjadi penyelesaian terbaik untuk melindungi hidupan laut kita.”

The Star Online melaporkan bahawa hidupan laut sering terkeliru dengan objek plastik seperti beg dan sebagainya yang dilihat seperti obor-obor dan sumber makanan lain. Setelah dimakan, objek plastik itu akhirnya menjadi punca kematian bagi kebanyakan hidupan laut.

Sementara itu, satu pasukan dari Jabatan Perikanan Sabah turut melawat tapak tersebut pada hari Jumaat, 8 Februari dan mengambil kepala ikan jerung paus seberat 150 kilogram untuk tujuan program penyelidikan dan kesedaran

Malay Mail via Sabah Wildlife Department

Ikan jerung paus yang juga dikenali dengan nama saintifik Rhincodon Typus, adalah spesies yang tidak dilindungi di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar.

Walau bagaimanapun, spesies ini masih dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 dan tidak dibenarkan dimanfaatkan (ditangkap, dimakan, dijual atau dieksport).

Sumber: SAYS, SNT

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP NASIONAL

Video Popular