PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengunjungi sebuah kafe di Presint 2, Putrajaya, pada petang Ahad (3 Februari) lalu.

Menurut pemilik Umai Cafe, Amir Redza Mohamad Tajudin, 37 tahun, ” Tuanku memuji hidangan kami.”

NSTP

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersama dua anakanda mereka iaitu Tengku Puteri Iman Afzan dan Tengku Puteri Ilisha Ameera singgah untuk minum petang di Umai Cafe sambil menikmati beberapa hidangan selain beramah mesra dengan rakyat jelata yang kebetulan berada di kafe tersebut.

Amir Redza ketika ditemui berkata, dia mengakui berasa terkejut apabila dihubungi pegawai khas Tuanku memberitahu bahawa baginda sekeluarga ingin menikmati hidangan minum petang di kafenya sebelum mengarahkan pekerjanya bersiap sedia.

NSTP

Menurut Amir Redza, baginda sekeluarga tiba jam 5 petang dengan memandu sendiri. Pada mulanya, dia dan kakaknya, Syura Natalia, 38 tahun menawarkan baginda dan keluarga untuk santap di ruang makan di tingkat atas yang lebih privasi. Namun, baginda memilih untuk santap bersama pelanggan lain di ruang makan di tingkat bawah.

Katanya, “Selepas mengambil tempat duduk, Tuanku sekeluarga memesan nasi lemak, lempeng pisang, lempeng kelapa, cucur udang dan roti jala. Sementara menunggu makanan tiba, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sempat beramah mesra bersama pelanggan yang berada di dalam kafe kami. Ketika itu, lebih 50 pelanggan sedang menikmati hidangan minum petang.”

NSTP

Menurut Amir Redza, dia juga mengakui berasa risau dengan menu yang dihidangkan selain bimbang tidak menepati selera baginda sekeluarga terutamanya Tunku Azizah yang dikenali ramai di media sosial sebagai ‘tukang masak’ hebat dari istana.

Menurutnya, dia berasa lega kerana baginda sekeluarga memuji menu makanan yang dihidangkan dan mengucapkan terima kasih atas layanan yang diberi sebelum beredar meninggalkan kafe tersebut kira-kira sejam kemudian.

Amir Redza juga memberitahu, “Selain itu, baginda juga berkenan membayarkan bil makanan untuk semua pelanggan yang berada dalam kafe pada petang itu.”

 NSTP

Amir Redza berkata, dia menyifatkan baginda seorang Raja yang mesra rakyat, merendah diri dan tidak cerewet dalam memilih makanan selain menyukai makanan tradisional.

Umai Cafe diuruskan oleh Amir Redza bersama kakak serta ibunya, Datin Jamaliah Ja’afar, 64 tahun, sejak lapan tahun lalu yang menawarkan masakan Melayu tradisional, barat dan makanan ala Thai.

Sumber : Harian Metro, The Star

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular