Walaupun baru berusia 15 tahun, Faizal Shamsuri yang memilih untuk mengayuh beca di Bandar Melaka mampu menjana pendapatan lumayan mencecah RM4,000 sebulan, lapor MyMetro.

Nazri Abu Bakar/NSTP

Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu bagaimanapun menyatakan bahawa purata pendapatannya adalah sebanyak RM3,000 sebulan, kecuali ketika musim perayaan dan cuti umum yang menuntutnya bekerja lebih gigih untuk meraih pendapatan lumayan.

“Walaupun pendapatan ini agak lumayan, saya terpaksa bekerja keras kerana kerjaya saya ini tidak seperti mereka yang berpendidikan tinggi dan selesa duduk di bilik berhawa dingin.

“Saya terpaksa mengerah kudrat termasuk berpanas dan berhujan bermula jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari bagi membawa pelancong bersiar-siar di sekitar Bandar Hilir dan lokasi pelancongan terkenal,” memetik kata Faizal kepada MyMetro.

Pengayuh beca termuda ini juga menyatakan bahawa dia selesa dengan pekerjaannya kini dan tidak berasa janggal bergaul bersama golongan pengayuh beca yang jauh lebih berumur dan berpengalaman.

Dengan kadar bayaran antara RM25 hingga RM50 bergantung kepada jarak, masa dan laluan yang dipilih oleh pelancong, Faizal turut menegaskan bahawa lazimnya laluan yang dipilih adalah laluan yang sama dengan rakan pengayuh yang lain.

Gambar sekadar hiasan: Paku Aji Homestay

Faizal juga tidak menafikan bahawa kerjaya yang dipilihnya ini pada mulanya mendapat tentangan daripada bapanya sendiri, Shamsuri Saleh yang turut merupakan pengayuh beca di Bandar Melaka. Namun, akhirnya setelah Faizal tidak lagi bersekolah, bapanya memberi kebenaran untuknya mengayuh beca dan menjana pendapatan sendiri.

“Walaupun pada awalnya ayah kurang bersetuju dengan pilihan saya, tetapi akhirnya dia akur kerana nampak kesungguhan dan minat saya sebagai pengayuh beca.

“Saya akan kekal bekerja sebagai pengayuh beca selagi terdaya memandangkan saya tidak mempunyai pendidikan tinggi serta kemahiran lain,” katanya kepada MyMetro.

Sementara itu, Datuk Bandar Melaka Bersejarah, Mansor Sudin, menegaskan bahawa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak pernah mengeluarkan sebarang permit dan lesen kepada pengayuh beca di bawah usia 18 tahun.

“Berdasarkan rekod kami, tiada pengayuh beca di bawah usia 18 tahun. Mungkin, dalam kes ini, remaja berkenaan ingin membantu ayahnya atau keluarganya pada waktu lapang.

“MBMB sendiri pernah mengeluarkan kompaun denda terhadap pengayuh beca yang tiada permit lesen termasuk di bawah umur. Syarat kebenaran lesen adalah jelas iaitu individu mestilah berusia 18 tahun ke atas,” katanya ketika dihubungi NSTP pada 6 Februari.

Sumber: MyMetro

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular