THAILAND – Seorang lelaki yang berasal dari Chonburi, Thailand telah ditemui meninggal dunia di rumah sewanya akibat renjatan elektrik ketika mangsa mengecas telefon pintar dengan menggunakan kabel tiruan sambil memakai fon telinga.

Mangsa, Kritsada Supol, 24 tahun telah ditemui oleh pemilik rumah sewa berkenaan pada pagi Ahad lalu yang mendakwa mayat Kritsada ditemui terbaring di atas tilam dengan kesan terbakar pada telinganya.

 

Menurut polis Thailand, kematian mengejut ini dipercayai berpunca daripada penggunaan pengecas telefon tidak berkualiti yang disambung ke palam tambahan. Akibatnya, berlaku letupan kecil yang akhirnya mencederakan mangsa dan menyebabkan kematian.

“Orang ramai boleh terdedah dengan bahaya jika memakai pengecas murah yang dihasilkan oleh pengilang yang tidak mempunyai kelulusan. Mayat mangsa yang terkena renjatan elektrik itu akan dibedah siasat bagi memastikan punca sebenar kematian mangsa”.

 

Sementara itu, Jaleuk Polthong iaitu ketua polis turut memberitahu media bahawa kematian Kristsada adalah disebabkan oleh penggunaan telefon Samsung yang sedang dicas pada masa yang sama mangsa menggunakan fon telinga.

“Kami percaya litar pintas berlaku semasa dia sedang menghubungi seseorang atau mendengar muzik lantas menyebabkan kematiannya. Mayat mangsa akan dihantar untuk menjalani autopsi bagi mengesahkan punca sebenar kematiannya”.

Kemalangan akibat menggunakan telefon ketika dicas sudah sering berlaku dan dipaparkan di dada-dada akhbar mahupun menerusi media sosial.

Terdahulu, seorang remaja dari Rembau, Negeri Sembilan dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan yang sama. Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Aidi Azzhar Zahrin, 16 tahun disyaki sedang memakai fon telinga sewaktu mengecas telefonnya sekali gus menyebabkan kemalangan itu meragut nyawanya.

Orang ramai disarankan untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada kes-kes sebegini bagi mengelakkan kejadian sama berulang kembali.

Sumber: Astro AWANI, Daily Mail

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds