Masyarakat Jepun mempercayai bahawa kemunculan ikan laut dalam ‘oarfish’ telah meramalkan gempa bumi dasar laut yang kuat dengan magnitud 9.0 pada tahun 2011 yang membawa tsunami besar melanda persisiran pantai di timur laut pulau Honshu, Jepun.

Baru-baru ini, beberapa orang netizen di media sosial menyatakan kegusaran dan kebimbangan bahawa Jepun sekali lagi akan dilanda tsunami besar apabila beberapa ekor ikan laut dalam ditemui oleh para nelayan telah terperangkap dan ditemui mati di pukat mereka.

Kredit : South China Morning Post

South China Morning Post melaporkan pada 28 Januari bahawa seekor ikan laut dalam ‘oarfish’ berukuran 4 meter panjang telah ditemui mati dan tersangkut di pukat bot di pelabuhan Imizu yang terletak di wilayah Toyama, Jepun.

Sembilan hari sebelumnya, dua ekor spesies haiwan laut dalam yang menyerupai belut laut telah ditemui terdampar di Pantai Toyama.

Pada tahun 2015, beberapa ekor spesies ‘oarfish’ juga telah ditemui, akan tetapi pada kali ini jumlah yang ditemui lebih kerap dan banyak.

mnn.com / Gambar Hiasan

Ikan laut dalam ‘oarfish’ atau dalam bahasa Jepun, “ryugu no tukai” sering dikaitkan dengan ‘petanda buruk’ menurut kepercayaan masyarakat Jepun tradisional menandakan satu malapetaka yang dahsyat akan berlaku.

Menurut laporan The Japan News, berdasarkan kepercayaan nenek moyang dahulu kala, memberi gelaran ikan itu “ryugu no tukai” yang bermaksud “pembawa berita atau perkhabaran dari istana raja naga.”

Teori ikan laut dalam akan muncul di permukaan laut atau terdampar di pantai selalu memberi petanda bahawa berlakunya gempa bumi yang kuat di dasar laut. Penemuan ‘oarfish’ yang terkini dan secara tiba-tiba telah menyebabkan ramai netizen berasa bimbang bahawa fenomena ini sedang membawa petanda bahawa gempa bumi yang kuat dan tsunami besar akan berlaku.

Mainichi Shimbun/ABC News / Gambar Hiasan

Reputasi ‘oarfish’ sebagai petanda akan berlaku malapetaka atau bencana telah mula menular bermula pada tahun 2010. Pada tahun itu, sekurang-kurangnya 10 ekor ikan laut dalam ‘oarfish’ telah ditemui terdampar di persisiran pantai di utara Jepun.

Berikutan daripada itu, pada bulan Mac 2011, satu gempa bumi kuat dengan magnitud 9.0 telah melanda Jepun yang telah membawa tsunami besar mengorbankan 19,ooo mangsa serta menyebabkan kebocoran loji nuklear Fukushima.

Walau bagaimanapun, para saintis telah menolak pandangan serta kebimbangan tersebut dan hanya menganggapnya sebagai satu mitos. Seorang profesor dari Universiti Kagoshima, Hiroyuki Motomura dalam kenyataannya kepada South China Morning Post berkata beliau percaya ikan laut dalam yang mati dan terdampar itu mungkin telah sakit dan akhirnya mati.

Kredit : The Japan News

Hiroyuki menjelaskan, “Saya telah mengumpul kira-kira 20 spesimen spesies ikan ini dan ia bukan satu spesies yang unik lagi jarang ditemui. Tetapi, saya percaya ikan ini cenderung akan muncul di permukaan apabila keadaan fizikalnya menjadi lemah, dan akan terapung di permukaan laut dengan mengikut arus. Itulah sebabnya mengapa kita sering dapat melihat ikan ini telah pun mati ketika ditemui.”

Tambahnya lagi, “Kaitan laporan mengenai aktiviti seismik telah berlaku sejak bertahun-tahun lamanya, tetapi tidak ada sebarang bukti saintifik akan perkaitannya dengan gempa bumi dan tsunami, jadi saya rasa masyarakat tidak perlu berasa bimbang akannya.”

Sumber : South China Morning Post , SAYS

Maybe you're interested :

Share

Video Popular