Holly Gerlach, 31 mula merasa berdenyut-denyut pada hujung jarinya selepas dua minggu melahirkan anak perempuannya, Casey. Dalam masa 72 jam, Holly lumpuh dari bahagian bawah leher hingga kaki dan tidak dapat bernafas sendiri.

Selepas jatuh pengsan di tengah malam, Holly dikejarkan ke hospital Grey Nuns di Edmonton, Canada. Doktor memberitahu bahawa Holly menderita sindrom Guillain-Barre, satu keadaan yang jarang berlaku di mana sistem imun badan menyerang sistem saraf.

Holly merasakan dia akan meninggal dunia atau kekal lumpuh dengan berkerusi roda sepanjang hayatnya namun mujurlah dia sembuh sepenuhnya.

“Casey adalah satu-satunya anak saya dan saya begitu teruja untuk menjadi ibu. Di hospital saya hanya memikirkannya. Saya sangat merinduinya. Saya fikir saya akan meninggal dunia, atau jika saya hidup pun, saya akan berkerusi roda.” kata Holly yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia.

Holly melahirkan Casey secara pembedahan Caesarean pada Februari 2011. Dia dibenarkan pulang ke rumah untuk memulakan hidup sebagai ibu selepas mendapat kebenaran dari doktor. Namun malangnya, dia diserang sindrom GB dan terpaksa ditahan di hospital selama 2 bulan setengah.

Disebabkan terdapat tiub pada kerongkongnya, Holly tidak dapat bercakap dan terpaksa berkomunikasi dengan menggunakan papan huruf.

Setiap hari Casey akan dibawa bertemu Holly dan diletakkan di atas dadanya supaya mereka sentiasa rasa dekat antara satu sama lain. 

Holly berasa tertekan kerana terpaksa berjauhan dengan Casey  ketika si kecil itu baharu sahaja berusia 20 hari. Holly kecewa kerana dia tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai ibu yang sewajarnya.

“Memang sukar untuk melihatnya dan tidak dapat memeluk atau bercakap dengannya. Saya berasa tertekan. Kadang-kadang saya merasakan lebih baik Casey tidak bertemu dengan saya dalam keadaan saya seperti itu kerana saya tidak dapat menjadi ibu yang sepatutnya.” kata Holly.

Selepas enam minggu, hujung jari Holly mula bergerak semula. Bermula dari situ, Holly mula menggerakkan seluruh anggota badannya. Dia juga belajar untuk bernafas tanpa menggunakan mesin bantuan (ventilator) yang mana menurutnya perkara yang paling sukar dilakukannya.

“Pada mulanya, ventilator ditanggalkan selama 30 saat dan saya cuba untuk bernafas sendiri. Ia memang sukar, saya berasa seperti sedang berlari maraton.” kata Holly.

Pada hari ke 70, ventilator ditanggalkan sepenuhnya dan Holly dipindahkan dari unit rawatan rapi (ICU) ke wad neurologi selama enam minggu lagi. Di sana, Holly bekerja keras untuk menguatkan otot lengannya dan kemahiran motor halus.

Kemudian, dia dipindahkan ke Edmonton’s Glenrose Rehabilitation Hospital untuk menjalani fisioterapi intensif. Holly melalui perkembangan yang cukup memberangsangkan. Daripada berkerusi roda, Holly sudah boleh berjalan dengan menggunakan walker. Setiap hari dia berlatih untuk berjalan sendiri dan semakin hari Holly semakin kuat dan sihat. Pada hari ke-126 Holly akhirnya dibenarkan pulang ke rumah. Ketika itu Casey berusia 5 bulan.

10 minggu di ICU, 6 minggu di wad neurologi, 3 minggu di hospital pemulihan, Holly pulih sepenuhnya selepas setahun kemudian. Malah dia lebih kuat berbanding dahulu.

Menurut Holly, dia tidak menyangka dia akan kembali pulih sepenuhnya. Dia turut melibatkan diri dalam program yang berkaitan dengan sindrom GB supaya dia dapat membantu orang lain yang menderita sakit sepertinya. Holly juga menulis buku yang menceritakan pengalamannya melalui saat getir dalam hidupnya.

Semasa Casey masih bayi, Holly tidak berpeluang menjadi ibu yang terbaik buat anaknya tetapi selepas dia pulih, seluruh kasih sayang dicurahkan buat permata hatinya itu. Bagi Holly anaknya itu tetap akan menjadi ‘bayi’ buatnya selamanya.

Pengalaman hidup Holly benar-benar memberi inspirasi buat kita semua. Bukan mudah untuk bangkit semula selepas disahkan menghidap penyakit yang tiada kepastian kesembuhannya. Namun apa yang paling penting ialah semangat untuk melawan penyakit tersebut. Semoga Holly dan keluarganya dapat melalui hari-hari yang mendatang dengan gembiranya.

Sumber: DAILY MAIL , epochtimes.com , HOLLY AFTER GBS

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds