Baru-baru ini Kampung Petani Kota Bharu, Kelantan gempar dengan misteri pokok petai yang mengeluarkan air pada waktu malam.

Kosmo

Misteri tersebut terjawab apabila seorang Ahli Zoologi mendedahkan bahawa kejadian tersebut berpunca daripada serangga yang dikenali sebagai Cicada atau Riang-riang yang kencing setelah menghisap lebihan air dari pokok tersebut.

Menurut Ahli Zoologi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Abdul Hamid Ahmad, sesetengah spesies Cicada hinggap di dahan-dahan pokok dan akan menghisap cairan zat makanan daripada pokok berkenaan menggunakan mucungnya.

“Namun, kandungan karbohidrat dalam cairan pokok itu sangat sedikit dan ini menyebabkan serangga itu menghisap lebih banyak cecair lalu mengeluarkan lebihan cecair itu menerusi saluran pencernaan,” kata Dr Abdul Hamid kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Beliau tampil untuk menjawab kebingungan penduduk di Kampung Petani, yang terkejut melihat pokok petai mengeluarkan air jernih dari daunnya setiap malam seperti menangis.

Berikutan fenomena itu, ramai penduduk kampung termasuk orang luar datang membawa baldi untuk manadah air berkenaan. Malah, ada pengunjung yang mengambil air tersebut untuk dijadikan ubat.

Menurut Dr Abdul Hamid, serangga berkenaan hidup secara berkumpulan dan apabila sekumpulan serangga Riang-riang ini membuang lebihan cairan zat yang dihisap ketika berada di dahan-dahan pokok, ia akan kelihatan seperti hujan.

Bug Guide

Selain itu, beliau menegaskan supaya berhenti membuat spekulasi dengan menjadikan air itu sebagai ubat penawar kerana ianya merupakan fenomena alam semula jadi.

“Kita perlu elakkan orang awam daripada fahaman yang tidak betul seperti menjadikan air tersebut sebagai ubat dan sebagainya. Malah, saya rasa media perlu memainkan peranan penting untuk memberitahu orang awam ini merupakan fenomena yang perlu kita perhati dan kita fahami,” kata beliau.

Sementara itu, Dr Abdul Hamid berkata, sekalipun air yang diminum itu tidak berisiko dan mendatangkan mudarat, namun orang ramai masih dinasihatkan supaya mengelakkannya kerana cecair itu berpunca daripada air kencing Cicada.

Abu Leman | YouTube

“Cecair itu tidak berisiko dan mendatangkan mudarat bagi mereka yang meminumnya. Cecair itu boleh dikategorikan sebagai air kencing kerana ia datang dari sistem pencernaan serangga itu.

“Tetapi, ia merupakan serangga tidak seperti kita (mamalia). Serangga itu cuma menghisap zat makanan dari tumbuhan. Jika cecair itu diminum, saya rasa ia tidak mendatangkan masalah,” tambahnya lagi.

Sumber: Astro AwaniAbu Leman | YouTube

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular