Empat daripada 10 batu nisan lama, dipercayai berasal dari zaman Kesultanan Melayu Melaka ditemui penduduk di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong.

Kredit: Muhammad Zuhairi Zuber|NSTP

Empat batu nisan tersebut dipercayai diperbuat menggunakan batu laterit berusia lebih 500 tahun itu ditemui kontraktor ketika menjalankan kerja pembersihan tanah penduduk di kampung berkenaan pada 6 Januari lalu bersama enam batu nisan lain.

Kerja pembersihan dilakukan berikutan sebuah keluarga di situ bagi persediaan mahu mengadakan majlis kenduri kahwin anak mereka tidak lama lagi.

Penduduk, Roslan Ramlan, 52, berkata kerja pembersihan di kawasan tanah yang bersemak itu dilakukan sejak 6 Januari lalu menggunakan jentolak.

Kredit: Muhammad Zuhairi Zuber|NSTP

Menurutnya yang juga merupakan seorang peniaga, beliau kemudian dimaklumkan oleh pemandu jentolak terbabit mengenai penemuan beberapa batu nisan, sebelum menyarankan supaya ia dilonggokkan di satu tempat.

“Penemuan beberapa batu nisan ini akhirnya sampai ke pengetahuan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang mengambil tindakan lanjut.

“Sepanjang tempoh 10 tahun menetap di kawasan ini, setahu saya ia bukan tanah perkuburan dan tidak pernah menemui apa-apa bentuk struktur kubur di sini,” katanya.

Kredit: Muhammad Zuhairi Zuber|NSTP

Turut sama terlibat dalam kerja-kerja pencarian beberapa lagi baki batu nisan yang tertanam di kawasan berkenaan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jaim, Datuk Rahimin Bani; Pengurus Besar Perzim, Fadhilah Md Salleh dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Duyong, Anuar Ali.

Salah seorang penduduk yang sudah lama menetap di kawasan berkenaan, Sharif Rahmat, 84, turut menafikan tapak tanah berkenaan adalah kawasan perkuburan dan mendakwa kesemua batu nisan terbabit dialihkan individu tertentu dari kawasan lain.

Kredit: Muhammad Zuhairi Zuber|NSTP

Sementara itu, Pengurus Besar PERZIM, Fadhilah Md Salleh, berkata hasil pemantauan awal pihaknya mendapati, empat daripada 10 batu nisan jenis laterit berkenaan wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mengenal pasti nilai sejarah penemuan itu, selain menilai hubung kait dengan penemuan batu nisan jenis sama di Johor pada tahun lalu.

“Zaman sekarang tiada lagi orang menggunakan batu laterit sebagai tanda kubur, jadi yang kita jumpa ini, memang batu sama dengan yang kita sedang kaji di Johor.

“Kita akan mendapatkan usianya terlebih dulu menerusi kepakaran agensi lain dan pasti kajian ilmiah akan dijalankan,” katanya.

Berdasarkan bentuk batu nisan ditemui, dua daripadanya menggambarkan pemiliknya ialah lelaki, manakala lapan lagi wanita.

Sumber: BH Online, Sinar Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular