Selaran matahari ataupun dalam istilah bahasa Inggerisnya ‘sunburn’ adalah merujuk kepada keadaan kulit yang kemerah-merahan, seakan-akan melecur menyakitkan akibat terlalu lama berjemur di bawah cahaya matahari yang panas terik dan menyebabkan kulit terdedah kepada sinaran ultraviolet atau UV yang berlebihan.

Keadaan selaran matahari ini akan menyebabkan kerosakan pada sel-sel epidermis dan melanocytes serta kehilangan sementara sel langerhans yang disebabkan oleh cahaya ultraviolet untuk protein sel dan nukleoprotein.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, lebih daripada satu pertiga orang dewasa dan hampir 70% kanak-kanak mendakwa bahawa mereka telah mengalami selaran matahari dalam setahun yang lalu. Jumlah radiasi UV bergantung pada sudut dan latitud matahari dan risiko yang lebih besar adalah apabila kedudukan matahari berada di atas anda.

Matahari memancarkan tiga jenis jarak gelombang cahaya ultraviolet iaitu, UVC, UVB dan UVA. UVC tidak mencecah bumi kerana cahaya ini diserap oleh lapisan ozon. Walau bagaimanapun, cahaya UVB dan UVA boleh melepasi atmosfera dan juga menjangkau epidermis kulit dan dermis manusia. Radiasi ultraviolet ini seterusnya akan mempengaruhi keadaan kulit yang membawa kepada penuaan kulit pramatang, kedutan, kerosakan mata dan kanser kulit.

Selaran matahari bergantung kepada jenis kulit, intensiti matahari, dan tempoh kulit manusia terdedah kepada sinar matahari. Sekiranya anda mendedahkan kulit anda terlalu lama di bawah sinaran matahari, potensi untuk kulit anda mengupas adalah tinggi kerana kulit akan mengelupas secara sendirinya sebagai cara untuk penyembuhan.

Pinterest

Sebaik sahaja terkena selaran matahari, kulit akan mula mengelupas selepas beberapa hari dan boleh berlaku sehingga beberapa hari yang berikutnya. Proses pengelupasan ini akan berhenti apabila kulit pulih sepenuhnya.

Salah satu cara untuk merawat kulit mengelupas adalah dengan meminum sejumlah air, ia membantu kulit sembuh dengan lebih cepat kerana kelembapan kulit yang baik. Selain itu, pemakaian pelembap seperti gel aloe vera atau jeli petroleum biasa juga boleh diamalkan untuk membantu melembapkan kulit. Disamping itu, sesi mandian hangat juga sangat membantu untuk melonggarkan sel-sel kulit mati dan kulit cenderung untuk menjadi lembut apabila proses mengeluarkan sel-sel kulit mati dilakukan.

Gratis

Satu lagi cara untuk merawat kulit mengelupas adalah dengan menggunakan kompres penyejuk (cooling compress). Anda boleh meletakkan kompres yang sejuk dan basah pada kulit yang mengelupas selama kira-kira 20 atau 30 minit untuk melegakan keradangan. Elakkan daripada menggunakan ais secara terus di permukaan kulit kerana tindakan ini boleh menyebabkan kerengsaan pada kulit.

9to5chic

Selain itu, kulit yang mengelupas juga boleh dilindungi dengan pakaian yang menyeluruh dan  memakai losyen pelindung matahari dengan SPF 45 atau lebih tinggi untuk mengelakkan kerosakan tambahan pada kulit. Sekiranya kulit yang terkena selaran matahari telah mengelupas sepenuhnya, disarankan agar penggunaan pelembap yang mempunyai sedikit asid alfa hidroksi diratakan pada permukaan kulit. Bahan ini akan membantu menghilangkan kulit mati tanpa menjejaskan sel-sel kulit yang baru.

Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, sentiasa bersiap-sedia memakai bahan-bahan yang boleh meminimakan pendedahan cahaya matahari kepada kulit dan cuba untuk elak berada di bawah cahaya matahari yang terik secara langsung. Disamping itu, pemakaian topi dan kaca mata hitam juga boleh membantu melindungi kulit dan mata.

Sumber: Hello Doktor

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds