Pada usia 17 tahun, tugas utama seorang remaja ialah dengan menjadi pelajar yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai impian dan merangka masa depan yang cerah, dengan panduan dan sokongan ibu bapa, tanpa dibebani masalah yang berat.

Walau bagaimanapun, seorang remaja berusia 17 tahun bernama Wang Yizhe dari Taichung di Taiwan ini tidak pernah melalui kehidupan remaja yang normal seperti rakan-rakannya yang lain. Semasa Wang Yizhe berada dalam darjah 6 di sekolah rendah, datuk yang menjaganya telah didiagnos dengan penyakit kanser dan keadaan kesihatannya yang semakin buruk telah menyebabkan Wang Yizhe mengambil alih tugas menyara keluarga.

Bermula dari waktu itu, remaja ini tidak pernah mengeluh dan dia menjalankan tanggungjawabnya dengan baik iaitu menjadi seorang pelajar yang cemerlang dan bekerja mencari nafkah untuk keluarga dengan empat orang ahli. Sejak kecil hidupnya sentiasa berdikari.

Wang Yizhe dan adik perempuannya tinggal bersama datuk dan nenek mereka selepas ditinggalkan oleh ibu bapa tanpa khabar berita. Datuk dan nenek umpama ibu bapa buat mereka. Mereka telah menyara Wang Yizhe dan adiknya bersama didikan yang baik dan sempurna.

Demi menyara keluarga dengan dua orang cucu, datuk Wang membawa teksi. Keluarga mereka tidak kaya tetapi cukup makan dan pakai serta hidup bahagia. Namun, tragedi melanda apabila penyara keluarga utama iaitu datuk Wang telah didiagnos dengan penyakit kanser.

Keadaan penyakit datuk Wang Yizhe semakin buruk apabila dia sudah tidak mampu bergerak dan hanya mampu terlantar di atas katil. Datuk Wang perlu dijaga dan dirawat setiap hari dengan bekalan ubat-ubatan yang perlu dibeli. Kini, ia menjadi tugas dan tanggungjawab Wang Yizhe untuk menjaga datuknya dan mencari wang bagi membeli ubat-ubatan serta menyara ahli keluarga yang lain.

Rutin harian Wang Yizhe selepas pulang ke rumah dari sekolah selalunya ialah memberi datuknya yang uzur makan dan minum, memandikannya dan memberinya ubat, serta tidak lupa memberi urutan badan. Kata Wang, “Datuk menjaga saya dan adik semenjak kami kecil, dan kini tiba masa kami pula yang menjaganya!”

Selepas itu, Wang Yizhe tidak akan mensia-siakan masa yang terluang kerana sebaik habis belajar, dia akan keluar bekerja di sebuah kafe berdekatan sebagai pelayan dan pembancuh kopi. Pendapatannya agak lumayan iaitu kira-kira 10,000 yuan (RM6,000) sebulan, sudah cukup untuk membayar sewa rumah dan bil serta perbelanjaan perubatan datuknya.

Wang Yizhe juga seorang pemain saksofon yang baik. Pada hujung minggu, dia dan rakan-rakan akan mengadakan persembahan jalanan dan sering mendapat tip yang lumayan. Wang Yizhe berimpian untuk menjadi seorang barista dan pemain saksofon profesional yang baik dengan meraih pendapatan lumayan demi menjamin kehidupan keluarganya menjadi lebih selesa.

Kegigihan Wang Yizhe yang sentiasa berusaha gigih dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang berdikari serta menggalas tugas sebagai penyara keluarga telah mendapat pujian daripada pelbagai pihak termasuk para guru, rakan-rakan dan majikannya. Ramai yang berasa kagum dan bangga dengan kegigihan serta ketabahan remaja ini menjalani liku-liku kehidupan. Sikap berdikari, tabah dan berani remaja berusia 17 tahun ini telah melayakkan dirinya menerima ‘Anugerah Wira Remaja Taiwan’ sebanyak dua kali.

Lihat video di bawah.

群園社會福利基金會 | YouTube

Sumber : YouTube , Happy Share

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds