GEORGE TOWN – Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun yang terbabit dalam kemalangan dengan SUV Mazda CX-5 di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, semalam didapati positif ganja dan berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, keputusan itu diketahui selepas ujian saringan awal yang dilakukan terhadapnya pada hari ini.

Kredit : NSTP

Menurutnya, polis juga sudah mengambil sampel darah mangsa untuk mengetahui kandungan alkohol dalam badannya, dan dia juga didapati berada dalam pengaruh alkohol ketika kemalangan yang telah menyebabkan sebuah SUV terjunam ke dalam laut.

Asisten Komisioner Nik Ros Azhan berkata, “Pemandu Toyota Vios berkenaan kini masih mendapatkan rawatan di hospital swasta kerana mengalami kecederaan di kepala, kaki dan tangan. Sebelum ini, dia dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan dibenarkan pulang, namun pengsan ketika berada di rumah dan dikejarkan semula ke hospital swasta,”

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi pada 20 Januari 2019, dua buah kenderaan iaitu Toyota Vios berwarna hitam dan kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih telah terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menuju ke Perai.

Kredit : Penang Kini / Astro Awani

Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun dan bekerja sebagai pendandan rambut telah cedera dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala SUV putih itu pula berpusing beberapa kali sebelum terjunam ke dalam laut.

Identiti pemandu SUV itu dikenalpasti sebagai Moey Yun Peng, 20 tahun, selepas bapanya membuat laporan polis pada jam 5 petang semalam kerana anaknya yang juga penuntut sebuah kolej swasta itu masih belum pulang ke rumah.

Sementara itu, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan berkata, pemandu Toyota Vios dan SUV itu adalah rakan sejak di bangku sekolah dan mereka dalam perjalanan pulang selepas menyambut parti hari jadi di sebuah kelab di Lebuh Chulia, Georgetown.

Kredit : Mikail Ong / NSTP

Katanya, “Mereka berdua bersama lima lagi rakan baru sahaja selesai menyambut parti hari jadi dan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di seberang. Lima lagi rakan mereka pula tinggal di bahagian pulau,”

Asisten Komisioner Nik Ros Azhan turut menambah, “Pihak polis juga sedang menyiasat sama ada mereka berlumba atau sebaliknya.”

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kereta SUV Mazda CX-5 bersama pemandu tersebut sedang giat  dijalankan.

Sumber : New Straits Times

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular