GEORGE TOWN : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kenderaan bersama pemandunya yang terhumban ke dalam laut dari Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, awal pagi Ahad (20 Januari) ditamatkan kira-kira jam 7 malam berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap.

Menurut Komander Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail, operasi yang bermula awal 7 pagi tersebut disertai kira-kira 20 pegawai dan anggota polis marin termasuk empat penyelam serta pasukan bomba bersama lima buah bot. Namun, selepas 12 jam operasi mereka tidak menemui kereta atau mangsa kemalangan berkenaan.

Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat kenderaan dan pemandunya itu akan diteruskan pagi Isnin bersama Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Kredit: New Straits Times

Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih yang terhumban ke dalam laut dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng, 20, merupakan penuntut kolej swasta di negeri itu.

“Identiti pemandu dikenal pasti melalui laporan berkaitan orang hilang dibuat seorang lelaki jam 5 petang yang mendakwa mangsa adalah anak lelakinya dan dipercayai memandu SUV terbabit. Ayah mangsa menegaskan menerima makluman berkenaan kejadian ini melalui rakan anak lelakinya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kredit: Sin Chew

Dalam kejadian kira-kira jam 2.50 pagi Ahad, kereta terbabit dilaporkan terhumban ke dalam laut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai.

Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Perai Azlan Hassan, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.54 pagi memaklumkan bahawa kemalangan membabitkan dua buah kenderaan berlaku dan sebuah kenderaan daripadanya telah terhumban ke dalam laut.

Katanya lagi, sepasukan pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Perai yang tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dengan pemandunya berusia 20-an mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan berkenaan dan kini dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Sementara itu, seorang pemancing di kawasan tiang bawah Jambatan Pulau Pinang yang mahu dikenali sebagai Azrul, 30-an, sedang memancing bersama dua orang rakan sebelum melihat sebuah kereta terhumban ke dalam laut lalu tenggelam. Dia bersama dua orang rakannya cuba mencari mangsa namun tidak menemui sesiapa.

Menurut Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid, tiga saksi bebas dan dua rakan Yun Peng juga sudah tampil membantu siasatan kes terbabit dengan rakaman percakapan sudah dijalankan ke atas semua mereka.

Kredit: NST Online/Youtube

Sumber: NST , BERNAMA , BERITA HARIANNST Online/Youtube

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL VIDEO

Video Popular