Seorang ulama Uyghur telah disahkan meninggal dunia dalam tahanan pihak berkuasa Xinjiang, kira-kira 40 hari selepas beliau ditahan di ibu kota wilayah Xinjiang iaitu di Urumqi. Jurucakap organanisasi Uyghur di luar negara telah mengesahkan berita itu.

Muhammad Salih Hajim, ulama terkemuka Uyghur yang berusia 82 tahun, telah meninggal dunia ‘ketika dalam tahanan’ dalam masa 40 hari selepas beliau, anak perempuannya dan saudara-mara yang lain telah ditahan, demikian menurut satu kenyataan oleh Projek Hak Asasi Manusia Uyghur (UHRP).

Kredit : RFA / Gambar Hiasan

UHRP berkata, “Punca Muhammad Salih meninggal dunia tidak diketahui, tetapi beliau telah dibawa ke dalam tahanan kira-kira 40 hari yang lalu, bersama anak perempuan dan saudara-maranya.”

Kenyataan UHRP juga menyeru supaya tekanan antarabangsa ke atas rejim China untuk membebaskan ribuan etnik Uyghur yang telah ditahan di kem pendidikan semula, sambil berkata, “UHRP menyeru kerajaan China untuk mendedahkan atas sebab dan keadaan apa beliau (Salih) telah ditahan, dan saudara-maranya perlu dibebaskan sekiranya mereka didapati tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah.”

Sementara itu, nasib anak perempuan Salih dan saudara-maranya yang sedang  ditahan masih tidak dapat dipastikan.

Seorang pegawai polis di Pejabat Polis Ghalibiyet di Urumqi memberitahu Radio Free Asia, “Pihak kami mendengar Muhammad Salih telah meninggal dunia di dalam tahanan polis tetapi tidak pasti bila beliau telah meninggal dunia.”

Kredit : Eastturkistan / Gambar Hiasan

Jurucakap Kongres Ugyhur Sedunia, Dilxat Raxit menyifatkan Muhammad Salih sebagai ‘seorang ulama agama dari etnik Uyghur yang paling disegani serta berpengaruh’ di wilayah Xinjiang. Beliau merupakan ulama pertama yang telah menterjemahkan Al-Quran ke dalam bahasa Uyghur.

Pengarah UHRP, Omer Kanat menyifatkan pemergian Muhammad Salih sebagai ‘satu tamparan hebat’ kepada masyarakat Uyghur, yang sangat menghormati beliau sebagai seorang pemimpin agama, ilmuan dan ulama.

Omer Kanat berkata, “Dengan memenjarakan seorang yang telah tua tanpa kesalahan atau apa-apa pertuduhan, membuktikan apa yang sedang berlaku di dalam kem pendidikan semula. Tidak terkecuali dan tiada jaminan bagi seorang yang mempunyai latar belakang agama yang telah disahkan oleh ahli di dalam kerajaan.”

Kredit : Poskota News / Gambar Hiasan

Sejak bulan April tahun lalu, etnik Uyghur telah dituduh oleh rejim China sebagai puak pelampau dan pengganas, serta memberi ancaman dengan pandangan politik serta ideologi mereka yang berbeza. Beribu-ribu etnik Uyghur telah ditahan di dalam kem pendidikan semula yang didirikan di seluruh Xinjiang, yang didakwa sangat buruk, penuh diskriminasi dan penindasan.

Kerajaan China dikatakan telah melancarkan kempen di Xinjiang yang melarang etnik Uyghur daripada mengamalkan ajaran agama Islam, dan larangan mempraktikkan budaya serta bercakap dalam bahasa sendiri. Mereka juga dilarang menonton video atau bahan dari luar melainkan dengan hanya kandungan tempatan yang telah ditapis.

Sumber : Radio Free Asia

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL Kebenaran

Video Popular

Ad will display in 09 seconds