ALOR SETAR – Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap kedatangan individu yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan melakukan penipuan terhadap mangsa berhubung perolehan bantuan zakat bulanan.

Pegawai Zakat Daerah Kota Setar, Burhanuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima beberapa maklumat dan aduan berhubung kes penipuan daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Kredit : BERNAMA

Menurut Burhanuddin, pihak LZNK melalui Pejabat Daerah Kota Setar (PZDKS) telah bertindak turun padang dan menemui mangsa penipuan individu tidak bertanggungjawab tersebut, seorang warga emas, Kamariyah Ani yang berusia 70 tahun di Kampung Chepoh, Tanjung Seri, Alor Setar.

Pada 12 Januari lalu, Kamariyah hampir ditipu apabila didatangi seorang tidak dikenali yang memakai pakaian tidak formal dan mengaku sebagai kakitangan Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Burhanuddin berkata, “Warga emas ini menceritakan bahawa individu terbabit menyoal berkaitan maklumat isi rumah, siapa yang berada di rumah serta beberapa maklumat lain. Mangsa memberitahu individu ini perlu memastikan nama Kamariyah sebelum mengatakan warga emas ini tidak layak menerima bantuan zakat.”

Kamariyah kemudian menjelaskan bagaimana individu tidak bertanggungjawab ini memberitahunya yang dia berpeluang menerima bantuan bulanan Lembaga Zakat Negeri Kedah sekiranya memberinya wang RM100 kepada individu ini untuk proses mendapat bantuan zakat.

Namun begitu, individu berkenaan bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah yang mempunyai kotak penyimpanan barang apabila Kamariyah memanggil salah seorang anaknya.

Kredit : Sinar Harian

Burhanuddin turut memaklumkan, seorang mangsa penipuan yang dikenali sebagai ‘Mak Teh’ telah berjaya diperdaya oleh individu ini selepas mangsa memberikannya wang RM100 melalui taktik yang sama.

Katanya, “Pelaku menggunakan modus operandi iaitu ingin membantu mangsa membuka akaun bank dengan alasan mangsa akan layak menerima bantuan bulanan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah dan wangnya akan dimasukkan ke dalam akaun bank yang dibuka mangsa.”

Burhanuddin menambah, “Oleh kerana mangsa tidak menyedari bahawa dirinya telah ditipu, dia kemudian telah menyerahkan wang berkenaan.”

Menurut Burhanuddin, sehingga kini penjenayah terbabit yang sedang bebas menyamar dan menipu orang ramai dengan menggunakan nama Lembaga Zakat Negeri Kedah masih diburu pihak berkuasa.

Katanya, “Jadi orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan perlu melihat bukti-bukti yang jelas seperti kenderaan LZNK, apa-apa bahan cetakan logo LZNK atau kad kuasa yang diserahkan kepada penolong amil kariah yang dilantik LZNK sekiranya didatangi individu yang mendakwa sebagai kakitangan LZNK.”

Kredit : Lembaga Zakat Negeri Kedah / Gambar Hiasan

Tambahnya lagi, langkah berwaspada terbabit perlu bagi mengelakkan orang awam daripada ditipu oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan ke atas golongan yang lemah dan menggunakan agama.

Burhanuddin berkata, “Untuk makluman, prosedur siasatan kakitangan LZNK biasanya dijalankan oleh dua orang kakitangan, yang mana sekiranya permohonan yang layak telah diluluskan, nama penerima akan dipaparkan di papan kenyataan LZNK di kariah masjid masing-masing.”

Burhanuddin berharap setiap pemohon atau penerima bantuan zakat boleh datang sendiri ke kaunter Pejabat Zakat Daerah  yang berdekatan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Sumber : BERNAMA , Sinar Harian

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds