Bagi para ibu pastinya adakalanya kehilangan idea untuk menyediakan hidangan minum petang. Anak-anak juga adakalanya sudah bosan dengan menu yang sama setiap hari dan pastinya seronok juga jika anda boleh membuat kelainan pada hujung minggu khususnya buat anak-anak. Bagi yang kekeringan idea untuk menyediakan minum petang, anda sebenarnya boleh cuba sendiri resipi wantan goreng. Ianya bukan sahaja mudah tapi apa yang penting sangat enak dan pasti ianya akan digemari oleh keluarga anda.

Berikut adalah bahan-bahan dan cara-cara yang dikongsikan oleh Ckin Izz Ilfy ini. Katanya resepi ini dipelajari dariapada salah seorang pesakitnya yang merupakan seorang Cina Muslim.

BAHAN-BAHAN:

-isi ayam (1 mangkuk)

-isi udang (1 mangkuk)

-tepung jagung (3-4 sudu)

-lada hitam

-lada putih

-gula

-garam

-kulit popia (saiz petak kecil)

-tepung gandum (untuk melekatkan kulit popia)

 

CARA-CARA

1. CINCANG ISI AYAM / UDANG

Mula-mula sekali, cincang halus isi ayam dan udang. Bagi yang menggemari daging, anda juga boleh guunakan daging selain ayam dan udang untuk dibuat intinya.

2. PERASAKAN INTI

Selepas bahan-bahan membuat inti telah dicincang halus, campurkan bahan tersebut dengan 3-4 sudu tepung jagung. Gaul kesemua bahan sehingga sebati.

Setelah itu, masukkan pula garam, gula dan lada putih secukup rasa. Gaul rata kesemua bahan dan air tidak perlu ditambah di dalam bahan ini.

3. BUBUH INTI

Seterusnya, buka kulit popia satu persatu dan sedia untuk membunjut!

Caranya, letakkan adunan isi tadi di atas kulit popia seperti yang dtunjukkan di dalam gambar. Jangan letak terlalu sedikit, dan jangan pula letakkan inti tersebut terlalu banyak kerana risau ianya akan terbuka semasa digoreng.

4. BUNJUTKAN

Bila sudah dibunjutkan, letakkan ‘gam’ di sekelilingnya bagi memastikan bunjut yang dibuat tidak terbuka.

Cara hendak membuat ‘gam’ ini pula mudah sahaja iaitu dengan hanya bancuh tepung gandum dengan air. Gunakan hanya sedikit air supaya adunan tersebut lebih pekat.

5. GORENG

Setelah siap semua sudah tiba masanya untuk menggoreng. Pastikan minyak panas dahulu sebelum menggoreng.

Masukkan satu persatu wantan ke dalam minyak yang sudah panas dan goreng dengan api yang sederhana besar. Bila wantan sudah kelihatan agak keperangan, angkat dan toskan minyak tersebut.

Sekarang sudah masanya untuk menikmati wantan goreng kegemaran ramai!

Mudah dan kelihatan enak bukan? Jadi, apa tunggu lagi?  Selamat mencuba!

Sumber: Ckin Izz Ilfy/Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds