Alex dan Andy merupakan pasangan kembar seiras dengan rupa paras dan penampilan yang sangat serupa lagi sama. Sehingga wajah, potongan rambut dan ketinggian mereka juga sama. Bagi yang tidak mengenali mereka secara dekat, sudah pasti mempunyai masalah untuk membezakan Alex dan Andy.

Walaupun memiliki wajah dan penampilan sama, tetapi sikap dan personaliti mereka amat berbeza.

Sementara Alex yang lebih tua merupakan seorang abang dengan sikap yang pendiam dan lurus, adik kembarnya, Andy pula seorang yang mudah bergaul dan peramah.

Sekadar Gambar Hiasan

Alex sering mengalami masalah untuk bergaul dengan orang yang tidak dikenali, tetapi Andy pula dengan mudah boleh berkawan dengan sesiapa sahaja kerana sikapnya yang peramah. Andy tidak pernah mempunyai masalah untuk menyatakan buah fikiran dan pelbagai idea dengan perkataan-perkataan manis dan menarik yang sering diucapkan.

Suatu hari, kembar seiras ini telah mengambil peperiksaan kemasukan ke universiti.

Sekadar Gambar Hiasan

Apabila keputusan rasmi dikeluarkan, Alex telah lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan itu. Malangnya, Andy tidak mendapat tempat memasuki universiti kerana kekurangan dua markah untuk lulus. Oleh kerana berasa kecewa kerana tidak dapat memasuki universiti, dia telah mengurungkan diri selama beberapa hari di dalam bilik tidurnya. Pada fikirannya, keputusan itu tidak adil kepada dirinya dan dia selayaknya mampu memasuki universiti kerana lebih berbakat dan pandai bercakap berbanding abangnya, Alex.

Sementara itu, Alex dengan perasaan gembira memberitahu ibu bapanya yang dia telah menerima surat tawaran kemasukan ke universiti berdasarkan keputusan peperiksaan itu. Walau bagaimanapun, bapa Alex berkata kepadanya adalah lebih baik Alex memberikan tempat itu kepada Andy. Katanya kepada Alex, “Lebih baik kamu berikan tempat kamu di universiti itu kepada Andy. Dia mempunyai potensi lebih baik dalam bidang akademik.”

Oleh kerana Alex seorang anak yang baik seperti selalunya, Alex telah bersetuju dan mengalah dengan keputusan bapanya. Dia kemudian memberikan surat tawaran kemasukan ke universiti kepada Andy sambil berkata, “Ini bukan tiket ke syurga. Jangan menaruh terlalu banyak harapan ke atasnya.”

Andy kemudian bertanya kepada abangnya, “Apa maksud abang?”

Alex berkata, “Ini tidak lebih sebagai satu cara kapitalis mengajar kita untuk membelanjakan wang.”

Mendengar perkataan Alex, Andy menggelengkan kepala seperti memperlekeh dan kemudian ketawa dengan perkataan abangnya itu. Surat tawaran itu umpama satu tiket emas baginya untuk menuju kejayaan walaupun bukan dengan usaha sendiri. Baginya, pendidikan dan ijazah itu amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang.

Tidak lama selepas itu, Andy memasuki universiti sementara Alex duduk sahaja di rumah, menjaga ibu dan bapa yang sudah tua. Alex kemudian mendapat pekerjaan sebagai buruh di sebuah kilang simen berdekatan rumahnya. Tugas pertamanya amat sukar kerana terpaksa memecahkan batu untuk dijadikan sebagai bahan campuran bagi menghasilkan simen. Apa yang mengagumkan, Alex amat cemerlang dalam melakukan pekerjaannya.

Alex juga telah berjaya mengubah suai sebuah mesin supaya ia boleh digunakan untuk memecah batu.

Sekadar Gambar Hiasan

Oleh kerana Alex sentiasa bersungguh-sungguh dan berinovasi di dalam kerjanya, pengurus kilang telah memindahkan Alex ke bahagian lain dengan tugas yang lebih penting, iaitu di bahagian pengeluaran. Berdasarkan pengamatannya, Alex menyedari ramai rakan sekerjanya sering jatuh sakit akibat berada di dalam persekitaran kerja yang tidak selamat di kilang itu.

Ramai pekerja yang mengalami masalah pernafasan akibat menyedut habuk silika semasa sedang bekerja di bahagian pengeluaran. Alex dan beberapa orang rakan sekerjanya kemudian telah berganding bahu untuk menghasilkan persekitaran kerja yang lebih baik dengan mencadangkan kepada pengurus supaya pihak kilang mengenakan peraturan ketat bagi semua pekerja dengan memakai pakaian khas dan peralatan berciri keselamatan apabila mengendalikan bahan mentah.

Tidak lama kemudian, Alex telah dinaikkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi. Kali ini, Alex telah dipindahkan ke bahagian penyelidikan dan pembangunan teknologi, di mana dari sini dia mendapat peluang untuk membaca pelbagai bahan berkaitan industri simen. Dia juga telah pergi ke beberapa kilang lain untuk mempelajari kemahiran yang baru serta mendapat info terkini mengenai industri.

Dengan pengalaman, kemahiran serta pengetahuan yang diperolehi menerusi bacaan, Alex kemudian telah berjaya membangunkan kualiti simen yang dihasilkan oleh kilangnya.

Sekadar Gambar Hiasan

Oleh kerana Alex terus melangkah gigih dengan prestasi kerja yang cemerlang apabila sering mengemukakan pelbagai idea baru dan inovatif, nama Alex telah mendapat reputasi yang baik di syarikat serta di kalangan mereka yang berada di dalam industri pembinaan.

Nama Alex begitu menonjol dan masyhur di dalam industri pembinaan yang diceburinya.

Sekadar Gambar Hiasan

Sementara itu di universiti, Andy telah jatuh cinta dengan seorang gadis yang berasal daripada keluarga kaya. Andy menjadi lalai dalam pengajian apabila sering menghabiskan masa bersama teman wanitanya yang menjadi tempatnya bergantung untuk menyara kehidupan di universiti. Tetapi, kemudian Andy telah ditinggalkan oleh teman wanita yang dicintainya kerana telah jatuh cinta dengan lelaki lain. Andy berasa sangat kecewa dengan perpisahan itu sehingga tidak lagi berminat untuk mengikuti kuliah dan terus melayan perasaannya sehingga menjadi murung. Nasibnya baik apabila pada peperiksaan tahun akhir, Andy sekadar lulus tanpa kepujian untuk mendapatkan segulung ijazah.

Walaupun sudah berjaya menggenggam segulung ijazah dari universiti, Andy terus berasa hilang arah dan ketiadaan semangat untuk mencari kehidupan. Akhirnya, Andy pulang di kampung halaman untuk mencari pekerjaan. Namun begitu, dia tidak mempunyai kekuatan untuk menemui ibu bapa sendiri yang berasa amat kecewa dengan keputusan dan pencapaiannya di universiti. Segala yang diambilnya daripada Alex telah disia-siakan dengan begitu sahaja. Dari situ, Andy bertekad untuk mendapatkan pekerjaan sebelum menemui ibu bapa.

Hasil sokongan dan cadangan yang dibuat oleh sebuah syarikat yang merupakan bekas majikannya dahulu di bandar, Andy telah dipanggil untuk menjalani satu sesi temu duga dari sebuah syarikat besar. Andy mempersiapkan dirinya untuk temu duga tersebut tetapi kemudiannya telah diberitahu yang dia telah diterima bekerja di syarikat itu.

Andy berasa begitu terkejut dengan berita gembira tersebut dan serta-merta menerima tawaran pekerjaan itu.

Sekadar Gambar Hiasan

Tetapi kemudian, Andy telah diberitahu yang dia perlu memulakan kerja di bahagian pengeluaran terlebih dahulu dan dipertanggungjawabkan untuk membakar batu.

Sekadar Gambar Hiasan

Apabila mendapat tahu yang dia perlu bekerja di bahagian pengeluaran, Andy berasa tidak adil. Syarikat itu tidak berhak memberinya jawatan yang berposisi rendah untuk graduan universiti sepertinya.

Andy kemudian telah berjumpa dengan setiausaha syarikat dan memohon untuk berjumpa pengarah syarikat untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya. Setiausaha syarikat memberi Andy sehelai kertas sambil berkata, “Tuan pengarah memberikan kamu nota ini.”

Andy mengambil kertas nota itu dan membacanya, “Jika kamu mahu memasuki syurga, kamu perlu sanggup memasuki neraka terlebih dahulu. Tidak semua perkara indah dapat dicapai dengan mudah.”

Andy berasa amat marah apabila membaca jawapan ringkas pengarah itu. Andy mahu berjumpa sendiri dengan pengarah ini yang tidak membenarkan dia bekerja menurut kelayakan akademiknya. Akan tetapi, sebaik sahaja dia melangkah masuk ke bilik pengarah, lidahnya menjadi kelu dan dirinya terus terpaku.

Sekadar Gambar Hiasan

Di kedudukan kerusi pengarah syarikat itu kelihatan kembar seirasnya yang bernama Alex, sedang melakar senyuman yang lebar ke arah Andy!

Maybe you're interested :

Share

Video Popular