Kuala Terengganu – Selepas menjadi popular ekoran gambarnya bersama sekumpulan kerbau menjadi tular di media sosial, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Muhammad Syukur Khamis, 14 tahun diraikan dengan pemberian Anugerah Pencapaian Murid Unggul Daerah Kuala Terengganu.

Dalam satu majlis yang diadakan di sekolahnya, pelajar tingkatan dua ini diraikan bagai wira di hadapan 1,500 pelajar dan guru-guru. Majlis penganugerahan telah disampaikan kepada Syukur oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong.

Kredit : Bernama

Dalam majlis ringkas itu, Syukur berkata, “Terima kasih kepada pihak sekolah atas penganugerahan hari ini, tidak lupa kepada guru-guru serta kawan-kawan yang turut sama meraikan.”

Tambah Syukur lagi, “Saya berasa bangga kerana selepas gambar itu menjadi tular, ramai rakan-rakan yang bertanya bagaimana saya boleh berinteraksi dengan baik bersama ‘kawan-kawan’ saya itu, dan saya berkata kepada mereka, saya sudah bergaul dengan haiwan-haiwan ini sejak dari kecil.”

Kredit : Bernama

Syukur telah lama menjadi buruan jurugambar dari dalam dan luar negara sejak beberapa tahun yang lalu, berikutan kebolehan semula jadinya yang mampu berinteraksi dengan lebih 100 ekor kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 63 tahun. Budak kampung ini menjadi popular di media sosial apabila salah satu gambarnya bersama sekumpulan kerbau dengan tajuk ‘Berkongsi Emosi’ telah tersenarai dalam 20 gambar terbaik dunia dalam anugerah fotografi berprestij, ‘Siena International Photo Awards 2018’.

Kredit : Mohd Nazri Sulaiman/sipacontest.com

Syukur berkata selain memberi motivasi kepada dirinya, anugerah yang diterimanya diharap akan dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan yang lain supaya bersikap belas dan hormat kepada haiwan kerana mereka juga makhluk ciptaan Tuhan yang mempunyai naluri seperti manusia.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Maidin, Zah Mohamad berkata anugerah yang diterima oleh Syukur bertepatan dengan nilai dan sikap yang telah diterapkan di dalam diri pelajar berkenaan iaitu kasih sayang, saling menghormati, kebahagiaan dan kemanusiaan.

Kredit : Bernama

Tambahnya lagi, “Kita juga mempunyai perancangan yang teratur supaya tahap pendidikan Syukur yang kini berada pada tahap sederhana dapat dipertingkatkan menjadi pelajar cemerlang. Pihak kami akan sentiasa memantau perkembangannya agar dia yang dikenali sebagai ‘Syukur – The Kampung Boy’ tidak terlalu leka dan tenggelam dengan populariti yang sedang diraihnya ketika ini.”

Sumber : Bernama

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds