Di China, mendapatkan udara segar bukan lagi percuma, kerana jika anda mahukannya, sebotol udara segar perlu dibeli dengan harga yang telah ditetapkan. Di metropolitan seperti Beijing dan Shanghai, menyedut udara segar yang dibotolkan sudah menjadi perkara kebiasaan ekoran pencemaran udara atau kadar peningkatan asbut (campuran asap dan habuk) pada tahap yang boleh dikatakan kritikal. Penduduk yang mahu mendapatkan udara segar perlu membayar sejumlah wang untuknya.

Krisis pencemaran udara di beberapa bandar besar di China amat membimbangkan apabila semakin ramai penduduk mengalami masalah pernafasan ekoran asbut melampau tahap merah seperti yang dicatatkan di Beijing dan Shanghai.

Kredit : Reuter

Ekoran krisis asbut tersebut, sebuah syarikat bernama Vitality Air yang berpangkalan di Edmonton, Kanada telah cuba menjual 500 botol udara segar dengan produk yang dinamakan ‘Botol Udara Segar dari Pergunungan Rocky’ ke China. Dalam masa empat hari, kesemua botol udara segar itu telah laris dijual.

Sebagai tambahan, 4,000 botol udara segar telah ditempah dan di hantar ke China. Pengasas Vitality Air, Moses Lam berkata kesemuanya telah habis terjual dan pra-tempahan telah dibuat dan ia belum lagi sampai ke China.

Pada mulanya Moses Lam dan rakan kongsinya, Troy Paquette secara bergurau telah mencuba untuk memasarkan udara segar Pergunungan Rocky di dalam Ebay, dan mereka tidak menyangka ia boleh menjadi begitu laris sehingga kehabisan stok. Mereka mendapatkan udara segar di beberapa lokasi berbeza di Kanada seperti di Taman Negara Banff dan Tasik Louise.

Kredit : vitalityair.com

Produk udara segar itu dijual dalam dua variasi yang dibotolkan iaitu 7.7 liter yang boleh disedut sehingga 150 kali pernafasan, dan 3 liter sehingga 80 kali sedutan pernafasan. Bergantung kepada jumlah udara dan jenisnya, harga yang ditawarkan adalah berbeza.

Pek berkembar udara segar Taman Negara Banff dengan botol 7.7 liter dijual pada harga RM176.00 (USD 43.00), manakala pek berkembar dengan botol 3 liter udara segar Tasik Louise dijual pada harga RM57.00 (USD 14.00). Dan pada kiraan harga Yuan yang dijual di China, harga udara segar ini adalah 50 kali ganda lebih mahal daripada harga air minuman yang dibotolkan.

Kredit : Telegraph UK

Walaupun berharga mahal, jurucakap Vitality Air di China berkata, “Udara segar yang dibotolkan di China tergolong dalam kategori barangan mewah, sesuatu yang sangat berharga. Perniagaan ini amat berpotensi untuk berkembang. Pengedar yang berminat amat dialu-alukan pada bila-bila masa.”

China merupakan negara penyumbang utama kepada pencemaran alam di dunia. Dengan perkembangan pesat sektor perindustrian bersama populasi penduduk 2 bilion dalam penggunaan kereta, pemanas udara dan penghawa dingin, ia menyumbang kepada pembebasan karbon dan gas merbahaya yang membawa kepada pencemaran udara yang semakin serius dan membahayakan kesihatan penduduknya.

Sumber : Vitality Air, Telegraph UK , Elite Readers

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES GLOBAL KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds