Seekor anjing bernama Tommy telah dipelihara oleh sebuah keluarga sejak usianya setahun. Pada mulanya, keluarga tersebut mahu mendapatkan anjing betina dan telah membuat temu janji dengan rumah perlindungan anjing yang berpotensi. Semasa mereka menunggu anjing-anjing tersebut, salah seorang pekerja bertanyakan kepada mereka jika mereka mahu bertemu dengan Tommy sementara itu. Ketika itulah keluarga tersebut dan Tommy saling jatuh hati antara satu sama lain. Cinta pandang pertama!

“Apabila tiba masa untuk pulang, Tommy baring di atas lantai dan sedaya upaya cuba untuk tidak meninggalkan kami. Pekerja cuba menarik Tommy keluar dari bilik tersebut,” kata Jenna Termolen kepada The Dodo.

Nampaknya Tommy telah membuat pilihannya sendiri iaitu untuk mengikuti keluarga Termolen sebagai keluarga angkatnya yang baharu. Ketika itu juga Termolen dan ahli keluarganya yang lain berbincang dan turut bersetuju untuk memelihara Tommy.

Sejak itu, Tommy tinggal bersama keluarga Termolen di Illinois sehingga tahun 2015 ketika mereka berpindah ke kawasan kejiranan di New York. Tommy mempunyai ramai kawan anjing di kawasan kejiranannya yang lama dan seolah-olah merindui mereka selepas berpindah sehinggalah Tommy bertemu dengan Jackson.

Sekitar seminggu selepas keluarga tersebut berpindah ke rumah baharu mereka, Termolen mendapat mesej dari anak lelaki bongsunya ketika dia keluar bertugas yang mengatakan bahawa terdapat seekor anjing yang besar dan berbulu tiba-tiba muncul di dalam rumah mereka.

“Saya segera menghubungi anak saya untuk melihat adakah semuanya baik-baik sahaja. Dia memberitahu saya bahawa Tommy dan anjing tersebut baik-baik sahaja dan anjing itu juga kelihatan mesra. Tommy membawa anjing tersebut melihat-lihat sekitar rumah kami.” kata Termolen.

Mereka melihat kolar anjing tersebut dan mendapati bahawa namanya ialah Jackson yang tinggal di hujung jalan. Termolen dan anak lelakinya menghantar Jackson pulang dan keluarga Jackson berasa segan kerana Jackson telah masuk ke dalam rumah orang lain. Namun begitu, mereka tidak terkejut kerana Jackson sebenarnya sedang mencari kawan.

Termolen dan anaknya mengucapkan selamat tinggal kepada Jackson namun tidak lama selepas itu mereka menyedari bahawa itu pasti tidak akan menjadi kali terakhir Jackson datang ke rumah mereka.

Kini Jackson sering melawat Tommy hampir setiap hari. Pada mulanya Termolen dan keluarganya akan menghantar Jackson pulang tetapi sejak itu, mereka menyedari Jackson sebenarnya tahu jalan pulang sendiri. Jika pintu garaj rumah Termolen terbuka, Jackson akan masuk sendiri ke dalam rumah dan tiada seorang pun ahli keluarga Termolen yang terkejut dengan kehadiran Jackson lagi.

Menurut Termolen, biasanya Jackson akan berhenti di hadapan pintu dahulu dan menyalak sekali dua dengan lembut. Jika tiada sesiapa yang menjawab, Jackson akan cuba masuk jika pintu garaj terbuka atau berjalan ke bahagian belakang rumah untuk cuba masuk melalui pintu belakang pula. Biasanya Termolen akan membiarkan Jackson masuk ke dalam rumah atau melepaskan Tommy keluar.

Walaupun jarak usia Jackson, 5 tahun manakala Tommy, 16 begitu jauh namun mereka tetap berkawan baik. Malah mereka sering berlari dan bermain di halaman bersama-sama.

Kini mereka lebih gemar bermain di sekitar rumah atau bersiar-siar sahaja. Walaupun Jackson lebih muda dan bertenaga, Jackson sentiasa gembira untuk memperlahankan pergerakkannya supaya dapat beriringan dengan Tommy yang lebih berusia.

Menurut Termolen, kelakuan Tommy menunjukkan usianya yang semakin tua. Jackson akan datang dan minum serta melihat jika ada baki makanan Tommy dan mereka pergi bersiar-siar bersama di sekitar rumah dan biasanya berjalan untuk seketika.

“Hubungan mereka sangat rapat dan manis. Kesedihan pasti akan terasa apabila semuanya berakhir. Saya tidak pasti akan mampu menyambut kedatangan Jackson apabila Tommy sudah tiada untuk menyambutnya nanti,” kata Termolen.

Sebenarnya Tommy menderita beberapa isu kesihatan sejak beberapa tahun yang lalu dan doktor haiwannya sendiri kagum kerana Tommy masih lagi hidup. Tommy sentiasa kelihatan gembira dan bergurau seperti biasa sehingga keluarga Termolen memanggilnya Tommy Timex.

Walaupun tenaga Tommy semakin terhad, namun persahabatannya dengan Jackson tetap segar. Malah Tommy akan keluar dan berjalan ke rumah Jackson untuk mengajaknya keluar dan bersiar-siar.

“Tommy akan merenung di jalan dan berharap rakannya itu akan muncul,” kata Termolen. Biasanya Jackson akan menghantar mereka pulang dan mungkin sejak Tommy tidak lagi selalu datang ke rumah Jackson, Jackson pula yang akan datang dan melawat Tommy di rumah. Persahabatan antara dua ekor anjing ini memang mengagumkan!

Sumber: THE DODO

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds