KULAIJAYA – Sebuah sekolah di sini, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tenggara kini menggunakan pengimbas cap jari bagi merekodkan kedatangan para pelajarnya. Sekolah berkenaan merupakan sekolah pertama di Johor yang mengaplikasikan penggunaan sistem biometrik sebegini semasa sesi persekolahan.

Kredit: ntv7 7Edition|Facebook

Menurut pengetua sekolah itu, Noraini Mohd Nor, sistem ini diperkenalkan bagi mencapai indeks prestasi utama (KPI) kedatangan pelajar sebanyak 95%.

Ia sememangnya satu tindakan yang bijak kerana pelajar sekolah menengah lazimnya sangat sinonim dengan tingkah laku negatif, misalnya ponteng sekolah atau kelas. Kes-kes ponteng yang berlaku di sekolah sudah biasa didengari oleh para ibu bapa di seluruh Malaysia.

Kredit: Kredit: ntv7 7Edition|Facebook

Oleh kerana itulah, penggunaan pengimbas cap jari ini dilihat berupaya membantu usaha sekolah tersebut untuk mencapai KPI sekaligus mengurangkan kes ponteng.

Para pelajar boleh mengimbas jari mereka pada mesin berkenaan pada setiap hari bagi mengesahkan kedatangan mereka ke sekolah. Informasi tersebut akan dihubungkan dengan aplikasi Pepatih MySekolah, di mana guru dan ibu bapa dapat mengawasi dan memeriksa kedatangan pelajar tersebut.

Kredit: ntv7 7Edition|Facebook

Seorang penjaga berkata, “Menerusi aplikasi tersebut, saya dapat tahu waktu anak saya tiba di sekolah. Lebih-lebih lagi jika anak saya menunggang motorsikal. Jadi saya boleh tahu dia ke sekolah atau tidak.”

Kredit: ntv7 7Edition|Facebook

Difahamkan bahawa aplikasi Pepatih Mysekolah itu tidak hanya terhad untuk memeriksa rekod kedatangan pelajar sahaja, malah ia turut menunjukkan rekod kedatangan pelajar untuk aktiviti ko-kurikulum serta keputusan peperiksaan.

Sekolah berkenaan dilaporkan menguji sistem tersebut pada bulan Oktober 2018 dan mula menggunakannya pada tahun ini. Menerusi sistem pengesan biometrik itu juga, para guru tidak akan dibebani dengan kaedah merekod kedatangan secara manual lagi.

Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu membayar kos sebanyak RM15 untuk sistem ini dan kos itu adalah untuk keseluruhan anak yang bersekolah di situ, dan bukannya untuk seorang pelajar sahaja. Manakala untuk memuat turun aplikasi berkenaan adalah percuma.

Sumber: ntv7 7Edition|Facebook

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL Pendidikan

Video Popular

Ad will display in 09 seconds