KUALA LUMPUR – Golongan bujang berpendapatan rendah yang tergolong dalam kumpulan B40, dan tinggal di kawasan ibu kota bakal menikmati kadar sewa bilik serendah RM100 sebulan menerusi skim ‘micro-housing’ mulai tahun ini.

Inisiatif berkenaan merupakan antara usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu mengurangkan beban golongan bujang khasnya buat golongan B40 yang menghadapi masalah mendapatkan bilik sewa ketika bekerja.

Kredit: Bernama

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata pihaknya akan melaksanakan konsep seperti hotel kapsul, di mana bangunan lama DBKL seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman, akan diubahsuai menjadi dua blok utama untuk golongan bujang – lelaki dan wanita.

Difahamkan bahawa keseluruhan blok itu menempatkan sebanyak 120 buah bilik. “Dua blok bangunan berkenaan boleh menampung sehingga 200 penghuni dan mereka akan dikenakan kadar sewa bulanan serendah RM100,” katanya kepada pemberita ketika wawancara ‘100 hari Datuk Bandar Kuala Lumpur’.

Kredit: World of Buzz

Kerja-kerja pengubahsuaian telah dimulakan sejak dua minggu yang lalu dan sejumlah RM5 juta hingga ke RM10 juta telah diperuntukkan bagi tujuan berkenaan. Ia dijangka siap pada pertengahan tahun ini dan dibuka untuk permohonan golongan bujang dalam tempoh yang sesuai kelak.

Walau bagaimanapun, penghuni bangunan itu tidak dibenarkan memasak dan dikehendaki berpindah jika mereka telah berkahwin dan membeli rumah.

“Permohonan secara dalam talian akan dibuka menerusi iklan DBKL. Namun buat masa ini, kami akan menumpukan kepada bangunan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan program ini akan diperluaskan ke kawasan lain di ibu kota jika ada permintaan tinggi,” akhirinya.

Sumber: BERNAMA

 

Maybe you're interested :

Share
Kategori: GAYA HIDUP NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds