Seorang lelaki yang mahu membeli buah buat ibu tersayang menemukannya dengan seorang budak perempuan berpakaian seragam sekolah di sebuah tempat letak kereta.

Dia didatangi kanak-kanak itu selepas meletakkan kenderaannya di Seksyen 9 Shah Alam. Kanak-kanak itu kemudian mengetuk tingkap kenderaannya dan bertanya adakah dia mahu cuci kereta.

“Dia tanya kalau saya nak basuh kereta. Pada mulanya saya kata tidak tetapi sebab dia pakai baju seragam sekolah dan saya ingat ada seorang lelaki berjalan bersama sebuah baldi dan kain lap di bahunya. Lantas, saya fikir lelaki itu mungkin ayahnya.”

“Saya tanya budak tu, berapa? Dia kata ikut abang (terpulang untuk bayar berapa). Saya kemudian tanya dia, siapa basuh kereta? Dia jawab ayah. Saya kata OK dan cepat-cepat keluar dari kereta,” kata seorang pengguna Facebook,  Adi W. Kamal menerusi kongsian di laman Facebooknya pada petang Selasa yang kini menjadi tular.

Kredit: Adi W. Kamal|Facebook

Adi menambah, budak perempuan yang masih menggalas beg sekolah di bahu itu kemudian berlari ke arah bapanya di hujung simpang, sebelum bapanya berpaling ke arahnya lalu berjalan sepantas mungkin sambil membawa baldi yang dipenuhi air.

“Saya kemudian berjalan ke arah dia dan berikannya duit dan beritahu ambil wang. Tak perlu cuci kereta saya OK,” katanya.

Adi juga mengatakan bahawa bapa tersebut, Sukumaran Sanmugam sedang mengumpul wang untuk membeli buku anak perempuannya untuk belajar di sekolah.

Adi Kamal berharap perkongsiannya dapat membuka mata masyarakat mengenai masih ramai insan yang kurang bernasib baik dan wajar diberikan bantuan dengan ikhlas, tanpa mengira latar belakang mereka.

Kredit: Adi W. Kamal|Facebook

Walaupun perkongsian itu tidak lagi dikongsi kepada orang ramai, Adi memberitahu kepada SAYS bahawa dia percaya orang ramai telah melakukan yang terbaik.

Menurut mStar Online, Sukumaran yang berusia 40 tahun mengambil upah mencuci kereta di jalanan sejak lebih dua tahun lalu, dan pendapatannya bergantung kepada sumbangan ihsan orang ramai dengan kadar yang tidak menentu.

“Saya tak pernah menetapkan berapa harga untuk cuci kereta. Bukan senang nak dapat pelanggan sebab sekarang ni sudah ada banyak kedai mencuci kereta.”

“Berapa yang mereka nak bayar saya terima. Sebab bukan senang, kalau hujan tak dapat cuci kereta. Ada masa saya dapat RM20 sehari, paling tinggi RM70 sudah cukup bersyukur,” katanya yang tinggal bersama isteri dan anak-anak di Padang Jawa, Shah Alam dengan kadar sewa RM350 sebulan.

Disebabkan tidak mengenakan caj yang tetap, bapa kepada dua orang anak ini tetap sedia untuk mencuci kereta walaupun ada pelanggan yang hanya mahu membayar RM1.

“Ada pelanggan kata kalau RM1 saja dia OK untuk keretanya dicuci. Saya terima dan saya cuci keretanya. Lepas cuci, dia hidupkan enjin dan saya ingatkan bayar saya tapi dia pergi macam tu saja. Tak sempat nak merasa RM1 tu, nasib saya kena tipu.”

Kredit: Adi W. Kamal|Facebook

Sukumaran bersyukur dipertemukan dengan lelaki berhati mulia, Adi yang memberikan sumbangan untuk beli buku sekolah buat anaknya. Dia juga menerima bantuan daripada orang ramai yang digunakan untuk perbelanjaan keluarganya. Sukumaran mengucapkan terima kasih kepada Adi dan orang ramai yang prihatin dengan nasibnya.

Anak perempuannya, Shariminy yang berusia 12 tahun, pula memberitahu, dia sering membantu bapanya mencuci kereta di sekitar Shah Alam selepas tamat waktu persekolahan.

Shariminy yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands di Seksyen 7, Shah Alam menjelaskan bahawa bantuannya itu sedikit-sebanyak dapat mengurangkan beban bapanya yang tidak boleh membuat kerja-kerja berat kerana terlibat dalam kemalangan kira-kira dua tahun lalu.

“Ayah pernah terlibat dalam kemalangan. Jadi tangannya pernah patah dan dimasukkan besi. Dia tak boleh buat kerja-kerja berat sebab kadang-kadang tangannya sakit dan perlu dirawat.”

“Sebagai anak sulung daripada dua beradik, saya cuba tolong ayah. Dia cuci kereta, saya tolong lapkan. Saya buat pun lepas waktu sekolah sampai petang, di rumah saya boleh belajar,” katanya sambil menambah, bapa menghantarnya ke sekolah setiap hari dengan menaiki motosikal sebelum memulakan kerja sebagai tukang cuci kereta.

Sumber: Adi W. Kamal|FacebookmStar Online, Says

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds