Agak mengejutkan apabila seorang wanita berusia 42 tahun dari China mampu melakukan penipuan bernilai RM3,602,915 (6 juta Yuan) dengan hanya menggunakan kemahiran solekan tebal dan menggoda, menukar identiti dan menyamar menjadi seorang gadis muda yang cantik.

Wang Jingjing sudah berusia 42 tahun tetapi teknik solekannya amat menakjubkan dengan bantuan teknologi perisian Photoshop apabila berjaya menyamar menjadi gadis berusia dalam lingkungan 20-an dan memperdaya teman lelakinya yang berusia 30-an bernama Li Xiaoqing dari Shenzhen.

Kredit : The Beijing News / YouTube

Jingjing berupaya menggunakan identiti dan penampilannya yang baru, berkenalan dengan Li di media sosial sehingga mereka menjadi pasangan kekasih. Sepanjang menjalinkan perhubungan itu, Li yang terpesona dan dilamun cinta telah membuat beberapa transaksi pindahan wang yang banyak ke dalam akaun Jingjing.

Pada 22 Mac tahun lalu, abang sulung Li Xiaoqing, Li Daqing telah mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila melihat beberapa transaksi wang yang meragukan dari akaun perniagaan keluarga mereka. Li Daqing mendapati wang sebanyak RM3,602,915 (6 juta Yuan) telah dicuri dari akaun itu, lalu dia telah bertindak membuat laporan polis di balai polis Shenzen.

Kredit : NetEase

Li Daqing kemudian bersemuka dengan adiknya, Li Xiaoqing dan meminta penjelasannya mengenai jutaan wang yang lesap begitu sahaja, memandangkan hanya Li Xiaoqing seorang sahaja yang ditugaskan menjaga akaun syarikat.

Akhirnya, Li Xiaoqing membuat pengakuan dengan memberitahu abangnya bahawa dia memberikan sejumlah wang yang hilang itu kepada teman wanitanya, Jingjing. Jingjing telah memperdaya Li Xiaoqing dengan mengatakan dia mengenali beberapa orang dalam bidang pelaburan, dan Li tanpa teragak-agak telah menyerahkan sejumlah wang kepadanya untuk dilaburkan.

Kredit : NetEase

Bukan setakat itu sahaja, Jinjing menerima sejumlah wang yang lain apabila dia menipu Li yang ibunya mengalami strok dan memerlukan pembedahan segera, dan juga dia terpaksa menanggung kerugian keluarganya yang telah kalah dalam perjudian di Macau. Li Xiaoqing yang berasa simpati telah menyerahkan kesemua jumlah wang yang diminta oleh Jinjing.

Shanghaiist melaporkan, semasa penyiasatan dilakukan didapati antara tahun 2016 sehingga akhir tahun 2017, sebanyak 150 transaksi pindahan wang telah dilakukan dari akaun Li ke dalam akaun Jinjing.

Jumlah keseluruhan sebenar yang dipindahkan ke dalam akaun Jingjing ialah sebanyak RM4,199,755 (7 juta Yuan). Tetapi Jingjing telah memindahkan kembali sejumlah RM599,965 (1 juta Yuan) ke dalam akaun Li selepas memperdaya teman lelakinya itu dengan menyatakan ia adalah wang ‘dividen’ hasil pelaburan.

Kredit : NetEase

Pihak polis yang menyiasat kemudian mendedahkan Jingjing sebenarnya dilahirkan pada tahun 1976 dan bukan tahun 1990 seperti yang diberitahu kepada Li. Apabila pihak polis meminta Li mengenal pasti identiti Jingjing menggunakan kad pengenalannya, dia tidak berupaya berbuat demikian kerana tidak mengenali identitinya yang sebenar.

Li Xiaoqing kemudian berkata setiap kali dia dan abang-abangnya bertemu dengan Jinjing, dia akan memakai solekan yang sangat tebal. Seorang jurucakap polis berkata, “Jika tidak kerana saya mengkaji wajahnya dengan mendalam selama beberapa waktu, saya juga langsung tidak dapat mengenal pasti identitinya, dengan hanya melihatnya dalam kehidupan sebenar.”

Kredit : NetEase

Apabila akhirnya Wang Jinjing telah diberkas dan ditahan, dia telah membuat pengakuan akan jenayah penipuan dan penyamaran yang dilakukan, sambil berkata dia bertindak menyembunyikan usia asalnya daripada Li termasuk mengaku yang dia mempunyai seorang anak lelaki yang sudah berusia 20 tahun.

Sumber : Providr

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds