Bukan semua individu di dunia ini dilahirkan dalam keluarga yang senang dan berharta. Ada yang mempunyai kehidupan sederhana dan ada juga yang hidup serba daif sehingga terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan lain.

Mungkin anda juga pernah merasai pengalaman memakai pakaian lama yang pernah dipakai oleh adik-beradik lain demi menjimatkan wang. Bagaimanapun, satu pengalaman yang dilalui oleh Ustaz Mohd Nasir ini benar-benar akan membuatkan anda sedih dan pilu dengan nasib yang menimpa pelajar daif berkenaan.

Berdasarkan laporan mStar, Ustaz Mohd Nasir yang mengajar di sebuah sekolah di Sungai Petani berasa amat terkilan apabila melihat nasib seorang anak murid yang terpaksa mengheret kasut sekolahnya ketika berjalan sambil sebelah tangan memegang seluarnya yang terlondeh.

Kredit: Mohd Nasir | Facebook , mStar

“Saya tengok dia dari jauh. Dia jalan tak angkat kaki dan tangan dia pegang seluar. Saya pun panggil dia dan pergi dekat dia. Saya tanya kenapa jalan macam ini. Dia kata saya tak boleh angkat kaki sebab kasut besar, ustaz.”

Jelas Ustaz Mohd Nasir lagi, “Saiz kasut dia terlalu besar. Kalau sikit-sikit dia mungkin boleh jalan elok-elok tapi kasut dia memang besar, saya ingat tiga jari boleh masuk.”

Kredit: Mohd Nasir | Facebook

Ustaz Nasir yang mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam turut menceritakan betapa besarnya saiz seluar yang dipakai oleh murid darjah tiga itu. Malah, seluarnya juga kelihatan sudah lusuh.

“Saya tengok seluar dia pun besar sangat sampai kena sangkatkan cangkuk di bahagian tali tempat letak tali pinggang.”

Setelah ditanya, barulah Ustaz Nasir tahu bahawa murid ini memakai seluar abangnya tahun lepas ketika abangnya berusia 12 tahun. Kini, abangnya itu sudah masuk ke sekolah menengah.

Atas dasar belas kasihan, Ustaz Nasir terus meminta izin daripada guru besar sekolah untuk membawa murid itu membeli pakaian sekolah yang baharu.

Kredit: Mohd Nasir | Facebook , mStar

“Saya panggil dia dan terus bawa ke Kepala Batas. Saya belikan dia semua yang baharu. Dalam kereta saya tengok dia senyum, dia gembira,” ujar Ustaz Mohd Nasir.

“Saya fikir kalau kita tak ambil tindakan, kita abaikan dia, apabila dia naik darjah 4,5,6 nanti dia dah ada perasaan malu. Jadi bila dia malu dia tidak mahu pergi sekolah. Bila tak pergi sekolah masa depan dia hancur.”

Kredit: Mohd Nasir | Facebook , mStar

Pada masa yang sama, Ustaz Mohd Nasir turut menafikan dakwaan netizen yang menganggapnya ingin meraih populariti dengan memuat naik kisah berkenaan di Facebook.

“Saya hanya mahu semangat kental kanak-kanak ini menjadi inspirasi kepada orang lain. Saya sendiri pun tunjuk video yang saya ambil dekat anak saya. Saya beritahu ini anak murid abah, walaupun keadaan macam ini dia sanggup pergi sekolah.”

Di samping itu, Ustaz Mohd Nasir turut menyatakan hasratnya untuk menjadikan murid tersebut sebagai anak angkatnya dan menanggung segala perbelanjaan yang murid itu perlukan.

Sumber: Mohd Nasir | Facebook , mStarWorld of Buzz

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds