Satu penyelidikan terperinci yang dijalankan oleh sekumpulan pengkaji dari Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati bahawa tahap kualiti udara di kawasan larangan merokok seperti di Pulau Pinang dan Melaka mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan.

Kredit: NSTP

Di sesetengah kawasan, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berubah daripada ‘bahaya’ kepada ‘baik’ semenjak larangan merokok diperketatkan dan diperluaskan ke premis makanan serta restoran bermula 1 Januari 2019.

Bacaan IPU antara 0-50 dikategorikan sebagai baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan melebihi 300 adalah bahaya.

Kredit: Arab News

Kajian yang diketuai oleh Profesor Dr Maizurah Omar dari USM itu turut menjangkakan bahawa kemungkinan besar masyarakat akan mematuhi arahan larangan merokok ini secara menyeluruh dalam tempoh tiga tahun. Malah, tindakan undang-undang ini turut berjaya membantu golongan perokok untuk membuang tabiat buruk ini memandangkan mereka melihat semakin ramai individu di sekeliling mereka yang tidak merokok.

“Dasar kawasan bebas rokok mudah dipatuhi perokok kerana mereka memahami bahawa larangan itu adalah untuk kebaikan individu yang tidak merokok.”

Kredit: The Star

Jelas Maizurah lagi, kajian yang turut dijalankan di Melaka sejak tahun 2009 itu menunjukkan bahawa pendedahan mengenai tembakau dan juga asap rokok adalah rendah di kawasan-kawasan yang kini mengamalkan polisi larangan merokok seperti restoran, pejabat dan juga lobi hotel.

Kajian ini dilaporkan telah dijalankan di 85 kawasan sekitar Pulau Pinang yang termaktub sebagai kawasan larangan merokok. Hasil dapatan kajian kemudiannya dibandingkan dengan beberapa kawasan hiburan, pub dan juga bar yang tidak mengenakan larangan merokok dengan bacaan melebihi 250.

Pada Oktober 2012, sebanyak enam buah taman rekreasi di seluruh Pulau Pinang tidak termasuk Tapak Warisan Dunia George Town dan Bukit Pinang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Kredit: The Star

Sementara itu, Maizurah menjelaskan bahawa kawasan yang tidak terbabit dengan larangan merokok cenderung terdedah kepada habuk halus yang bersaiz kurang daripada 2.5 mikrometer unit (PM2.5).

“Habuk ini sangat halus sehingga boleh menyerap masuk ke dalam salur darah kita secara terus. Bayangkan PM2.5 mengandungi lebih 7,000 bahan kimia yang dilepaskan asap rokok yang lebih kecil daripada habuk jerebu pada 10 mikrometer (PM10).”

Tambah Maizurah lagi, “Kami mendapati kadar tertinggi bagi habuk PM2.5 direkodkan adalah di pusat hiburan yang membenarkan pelanggan merokok. Jerebu mengandungi PM10 iaitu habuk halus pada skala 10 mikrometer. Walaupun PM10 mengandungi karbon monoksida, sulfur monoksida, nitrogen dioksida dan ozon, ia tidak mampu menembusi badan kita kerana dihalang bulu hidung atau topeng.”

Sumber: NST

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds