JAKARTA – Gempa bumi dengan magnitud 6.6 skala Richter melanda bandar Ternati di Pulau Maluku, Indonesia pada awal pagi Isnin, 7 Januari menimbulkan rasa panik penduduk tempatan, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut laporan Peninjau Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran berada pada kedalaman 60.5 kilometer di Laut Maluku yang terletak 175 kilometer dari barat laut bandar Ternati disusuli gempa dengan magnitud 5.0 hingga 5.1 skala Richter.

Kredit : US Geological Survey / Channel News Asia

Laporan awal dari Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) di halaman Twitter menyebut gempa terbesar dengan magnitud 6.5 pada kedalaman 10 kilometer berlaku pada jam 12.27 tengah malam di wilayah Halmahera Barat, Maluku Utara. Manakala jurucakap Agensi Bencana Tohomon, Sulawesi Utara pula berkata tiada kerosakan harta benda atau sebarang kematian yang dilaporkan.

Seorang penduduk bandar Ternati bernama Budi berkata kepada AFP, “Kami merasai gegaran gempa dan ramai yang lari bertempiaran keluar dari rumah tetapi tidak ada yang terlalu panik. Dan tiada kerosakan yang berlaku.”

Manakala seorang lagi penduduk di bandar Manado, Bani Nasution berkata, “Saya berlari keluar dari rumah seperti orang lain, tetapi kemudian semua telah kembali pulang ke rumah masing-masing.”

Kredit : BMKG / Twitter

Pusat Amaran Tsunami Pasifik dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan data semasa, tiada sebarang amaran ancaman tsunami susulan kejadian gempa bumi tersebut.

Pada akhir bulan Disember tahun lalu, Tsunami Selat Sunda melanda pantai Selat Sunda di pulau Sumatera mengorbankan lebih 400 mangsa. Indonesia mengalami tiga bencana alam terbesar dalam masa 6 bulan pada tahun lalu dengan gempa bumi kuat di Lombok pada bulan Julai dan Ogos. Manakala bencana terburuk rantaian gempa bumi dan tsunami pada bulan September di Palu, Sulawesi telah mengorbankan 2,200 mangsa dengan ribuan lagi mangsa yang masih hilang dan dianggap sudah meninggal dunia.

Sumber : AFP , Channel News Asia

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds