KUALA LUMPUR – Anak lelaki kepada Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis selepas didapati positif dadah jenis ganja di sebuah pusat hiburan pada Jumaat malam (4 Januari 2019).

Setiausaha Politik Menteri Pertahanan iaitu Azhar Md Dali turut mengesahkan berita mengenai penahanan Ahmad Saiful, 31 tahun itu kepada Astro AWANI menerusi perbualan di aplikasi WhatsApp.

Kredit: Astro AWANI

Ahmad Saiful dikatakan telah ditahan dalam Ops Hiburan Bersepadu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Dalam operasi serbuan berkenaan, seramai 46 lelaki dan 55 wanita telah diperiksa dan dua orang lelaki termasuk anak Mat Sabu telah ditahan berikutan ujian air kencing menunjukkan kedua-duanya positif dadah jenis ganja.

Kredit: Malaysiakini

Sementara itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Facebook rasmi Mohamad Sabu pada 5 Januari lalu, Ahli Parlimen Kota Raja itu memaklumkan akan menyerahkan segala tindakan dan keputusan kepada pihak berkuasa.

“Saya telah dimaklumkan tentang penahanan anak saya, Ahmad Saiful Islam Mohamad oleh pihak polis. Susulan penahanan ini, saya dan keluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak berdasarkan proses undang-undang sedia ada.”

Tambah beliau lagi, “Anak saya sama seperti orang lain, juga tertakluk kepada proses undang-undang negara.”

Ahmad Saiful yang juga merupakan penuntut di sebuah universiti di Gombak bagaimanapun dilaporkan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada petang Sabtu lalu (5 Januari 2019).

Kredit: Utusan Online

Pada masa yang sama, Menteri Kewangan Lim Guan Eng turut melahirkan rasa simpati terhadap berita penahanan anak Mat Sabu ini dan menyatakan sokongan beliau terhadap menteri itu.

“Saya simpati kepada beliau kerana walaupun sukar untuk menjadi menteri, tetapi lebih sukar untuk menjadi bapa. Saya berharap semua pihak menghormati serta memberi ruang kepada keluarga beliau dan biar proses undang-undang diambil dengan sewajarnya.”

Sumber: Utusan OnlineAstro AWANI

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds