KUALA LUMPUR: Mohamad Ridzuan Puzi, 31, mencipta sejarah selaku atlet Malaysia pertama dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018.

Kredit: UTUSAN ONLINE

Terdahulu, menerusi catatan Twitter Kementerian Belia dan Sukan (@KBSMalaysia) menyatakan pemecah rekod dunia acara 100m dan lompat jauh di Sukan Para Asia 2018 Mohamad Ridzuan, mencipta sejarah selaku atlet para negara pertama dinobatkan sebagai Atlet Para (Lelaki) Terbaik Asia 2018.

@KBSMalaysia juga menyatakan Mohamad Ridzuan yang lebih dikenali sebagai Dikwan, bakal menerima anugerah itu yang akan disampaikan oleh Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) di Dubai, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), pada 5 Februari depan.

Mohamad Ridzuan mencipta rekod dunia baharu dalam acara 100m lelaki T36 dengan catatan masa 11.87s sekali gus memadam rekod dunia 11.90s milik atlet Rusia, Evgenii Shvetcov yang dilakukan pada Kejohanan Dunia 2013 di Lyon.

Bagi acara lompat jauh pula, Mohamad Ridzuan telah memecahkan rekod dengan catatan terbaiknya 5.59m dan memadam rekod lama (5.45m) yang dilakukan oleh atlet China, Yang Yi Fei, pada tahun 2016.

Kredit: UTUSAN ONLINE

Susulan kejayaan yang amat memberangsangkan itu, Mohamad Ridzuan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (NSC), Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan dan jurulatih peribadinya, R. Jaganathan kerana telah membantu sepanjang penglibatannya dalam sukan tersebut.

“Saya tidak akan melakukannya tanpa bimbingan jurulatih Jaganathan. Ia akan mendorong saya untuk melakukan lebih baik dalam World Para Athletics Championships di Doha pada bulan November,” katanya, sambil menambah bahawa dia tidak pernah berharap untuk memenangi anugerah ini.

Kredit: THE STAR ONLINE

“Saya tidak pernah menjangka akan memenangi anugerah itu kerana terdapat beberapa atlet lain yang juga telah berjaya dalam Sukan Para Asia. Ini satu penghormatan kerana saya adalah orang Malaysia pertama yang memenangi anugerah ini,” kata pemenang pingat emas 2016 Paralimpik Rio 100m 2016 itu lagi.

Sementara itu, Jaganathan yang telah menjadi jurulatih Mohamad Ridzuan sejak tahun 2009 berkata dia begitu bangga dengan pencapaian Ridzuan.

Kredit: ASTRO ARENA

“Ridzuan adalah contoh kepada atlet para Malaysia yang lain – mereka harus mencontohinya dan percaya kepada kebolehan mereka sendiri.”

“Dia seorang atlet yang berdedikasi kerana dia sentiasa memberikan yang terbaik dalam pertandingan dan saya juga bangga kerana dia telah memenangi emas dalam semua kejohanan utama – Paralimpik dan Kejohanan Dunia Para.” kata Jaganathan.

Berikutan perkhabaran gembira itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengucapkan tahniah kepada Mohamad Ridzuan menerusi catatan di laman Twitter rasmi beliau.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada atlet paralimpik negara Mohamad Ridzuan Puzi di atas pencapaian terbaik beliau. Ini suatu kejayaan besar yang pasti membanggakan negara. Malaysia Boleh! #kamiluarbiasa,” kata Perdana Menteri.

Tahniah sekali lagi kepada Mohamad Ridzuan atas kejayaan tersebut dan terima kasih kerana telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia!

Sumber: SAYS , THE STAR ONLINE , UTUSAN ONLINE

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL SUKAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds