Musim persekolahan kembali lagi dan anda semua pasti dapat melihat ragam anak-anak kecil yang pertama kali melalui pengalaman berjauhan dari ibu bapa masing-masing untuk ke sekolah.

Ada yang akan menangis, meraung, tidak mahu ibu bapa meninggalkan mereka dan bermacam-macam lagi. Tetapi berbeza dengan murid Tahun Satu bernama Hana Aishah ini yang sangat bersemangat untuk ke sekolah.

Malah, kanak-kanak perempuan yang comel ini juga berjaya meraih populariti di laman sosial Facebook, Twitter dan juga Instagram dalam tempoh semalaman selepas videonya sedang ditemubual oleh wartawan dari RTM menjadi tular.

Kredit: mStar

Video yang tersebar itu menarik perhatian netizen yang amat mengagumi kebolehan Aishah berbahasa Inggeris dengan begitu lancar dan fasih.

Memetik laporan mStar Online, bapa Aishah iaitu Mustafa Kamal Mohd Taib sendiri terkedu dan kagum dengan kebolehan anaknya yang merupakan pelajar Tahun Satu di Sekolah Rendah Kebangsaan Kendawang, Langkawi berbahasa Inggeris.

“Dia boleh berbahasa Inggeris sejak umur tiga tahun. Masa umur dua tahun masih pelat lagi. Tapi perkataan pertama dia dulu pun dalam bahasa Inggeris.”

Tambah Mustafa lagi, “Saya pun rasa pelik, dia memang berbakat. Aishah suka tengok rancangan bahasa Inggeris. Dia belajar sendiri sampai orang kampung pun panggil dia Aishah London. Kalau naik kapal terbang atau jumpa pelancong asing, dia tarik tangan saya nak pergi tegur dan bersembang.”

Kredit: mStar

Jelas bapa yang juga peniaga berusia 42 tahun itu lagi, dia tidak mempunyai sebarang tips mahupun rahsia istimewa untuk mengasah kemahiran berbahasa Inggeris anaknya itu.

Mustafa yang merupakan bekas pegawai Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bagaimanapun mengakui amat menekankan pendidikan agama Islam kepada Aishah dan juga lapan lagi anaknya.

“Tiada rahsia apa-apa. Cuma jaga solat dan tekankan pendidikan agama. Macam Aishah, dari usia tiga tahun saya dah ajar solat. Saya juga tekankan pada pembelajaran Al-Quran untuk dia.”

Selain daripada gemar menonton rancangan televisyen berbahasa Inggeris, selera makan Aishah juga dikatakan sedikit berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain. Antara makanan kegemaran anak kecil ini adalah piza, spaghetti dan juga keju.

Kredit: mStar

Mustafa turut gembira dengan tingkah laku anaknya yang langsung tidak meragam ketika dikejutkan awal pagi untuk bersiap ke sekolah.

“Dia teruja nak ke sekolah, kejutkan dia untuk bangun pagi pun senang. Sekali panggil sahaja dah bangun.”

Tambahnya, hasrat Aishah adalah menjadi seorang doktor atau pereka fesyen apabila dewasa kelak.

Kredit: Awatt Syeikhhh/Facebook

Sumber: mStarWorld of Buzz, Awatt Syeikhhh/Facebook

Maybe you're interested :

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds